Jualan Pisang Cheese Jakarta laris
KEENAKAN pisang goreng tidak dapat dinafikan terutama ketika minum petang bersama teh mahupun kopi panas.
Tidak terhenti keenakannya setakat digoreng bersama tepung dan minyak, kini pisang goreng melalui fasa inovasi apabila diadun bersama cheese dan lebih enak pula sesetengahnya ditaburi coklat.
Apabila bercerita mengenai pisang goreng cheese, ia dikatakanantara makanan popular dari Indonesia. Di sana, ia dijual di jalanan dan digemari penduduk tempatan. Namun kini ia juga menjadi antaramenu minum petang kegemaran rakyat di negara ini.
Khabarnya sejak 2013.
Di Malaysia saat ini, ramai pengusaha gerai sudah mula menjual pisang goreng cheese. Jadi, tidak susah lagi hendak mencarinya.
Penulis bertemu dengan seorang pengusaha yang juga Pengurus Pemasaran Pisang Cheese Jakarta, Azlan Sulaiman yang tidak lokek bercerita mengenai pisang goreng cheese yang diusahakannya. Namun resipi pisang goreng cheese miliknya bukanlah sama seperti yang dijual di Indonesia. Resipi miliknya tersendiri!
“Saya bersama abang, Arus Sulaiman berniaga Pisang Cheese Jakarta dengan menggunakan resipi sendiri di Seksyen 7, Shah Alam awal tahun lalu.
"Pisang goreng cheese saya menggunakan pisang awak.
"Bukan mudah untuk meletakkan cheese pada pisang goreng. Sekiranya terlebih cheese, ia cepat muak dimakan kerana sudah mengandungi minyak masak," katanya yang bermodalkan RM1,000 ketika awal perniagaannya.
Asas membuatnya seperti biasa pisang bersama tepung terlebih dulu digoreng hingga masak kekuningan dan kemudian cheese yang disagat ditabur ke atasnya.
"Kami akan mengambil tempahan lebih awal jam 4.30 petang supaya pelanggan tidak akan menunggu lama. Masa diambil untuk menggoreng pisang adalah lapan minit, dan dibiarkan seketika sebelum diletakkan cheese," katanya.
Sebenarnya, tidak sukar membayangkan keenakan Pisang Cheese Jakarta. Imaginasikan aroma pisang goreng kemudian dimakan bersama cheese yangrasa 'lemak'. Pasti saja mengundang selera baharu jika memakannya apatah lagi buat penggemar pisang goreng. Kepada yang mahu rasanya lebih enak, salut pula dengan coklat.
Rangup dan manis pisang goreng bercampur cheese, diadun coklat. Memang rasa lain dari pisang goreng biasa.
Tambah Azlan, Pisang Cheese Jakarta juga menjual pisang cheese 'original', pisang cheese Oreo, pisang cheese coklat, pisang cheese caramel dan pisang cheese serbuk koko. Pisang cheese original paling digemari dan menyumbang 40 peratus jualan.
Walaupun baru setahun, Pisang Cheese Jakarta mempunyai cawangan iaitu tiga di Shah Alam, Bangi, Damansara dan Putrajaya.
“Pisang Cheese Jakarta laris di Shah Alam dan Bangi kerana ia dibeli oleh pelajar institusi pengajian tinggi berdekatan. Kami berjaya menjual 300 hingga 600 kotak sehari.
“Kami memperoleh keuntungan RM500,000 pada tahun lalu dan menjangkakan menambah beberapa lagi lokasi perniagaan baharu,” katanya.
Azlan berkata, Pisang Cheese Jakarta merancang menambah enam cawangan baharu antaranya Melaka, Pahang dan Pulau Pinang serta merancang menembusi pasaran Singapura.
“Kami tidak akan menambah produk baharu tetapi akan mempelbagaikan menu baharu setiap dua bulan sekali. Kami juga merancang membuat 'frozen' pisang goreng dan cempedak goreng untuk pasaran luar negara,” katanya.
Akhiri Azlan, sehingga hari ini, Pisang Cheese Jakarta menggunakan resipi dan adunan tepung sendiri bagi setiap cawangannya untuk memastikan kualitinya tetap sama.
Nampaknya pisang goreng telah melalui satu fasa inovasi yang mula menular menjadi makanan kegemaran ramai.Apapun, perlu diingat, pisang goreng cheese cuma sedap dimakan ketika masih panas.
Sebelum itu, sedikit perkongsian maklumat di mana ada mengatakan pisang goreng cheese mula dijual di Tawau, Sabah sejak beberapa tahun lalu, diikuti Kota Kinabalu, Sarawak, Johor dan Lembah Klang.-Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini