![]() |
Sekadar gambar hiasan |
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika mangsa, Asrul Effendi Desa, 43, cuba menarik sebuah kereta jenis Kia Optima bagi pihak sebuah bank di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.
Dalam cubaannya melaksanakan tugas itu, pemandu kereta terbabit menyerahkan kunci dan mangsa bermurah hati untuk menghantar lelaki terbabit dan seorang wanita warga Singapura yang berada dalam kenderaan terbabit ke sebuah hotel di Tanjong Tokong.
Kemudian ketika dalam perjalanan, lelaki terbabit meminta mangsa bertemu pemilik sebenar kenderaan terbabit di sebuah stesen minyak di Sungai Tiram, Bayan Lepas yang berjarak kira-kira 500 meter daripada lapangan terbang.
Mangsa yang akur kemudian menuju ke stesen minyak terbabit dan menunggu kira-kira lima minit sebelum didatangi dua lelaki yang kemudiannya memukul mangsa.
Suspek yang berada di dalam kenderaan bertindak membawa kayu dan turut sama memukul mangsa yang kemudiannya diselamatkan oleh orang awam.
Selepas itu, suspek bersama dengan dua lelaki berkenaan melarikan diri setelah melihat beberapa orang awam di tempat kejadian cuba menghampiri mereka.
Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian hidung, mulut dan kepala dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin mengesahkan kejadian berkenaan dan memberitahu, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan. - Utusan