Ramai cikgu masuk penjara selepas ini
SHAH ALAM - Sekiranya tindakan merotan diklasifikasikan sebagai jenayah, mungkin ramai guru akan masuk penjara kerana tindakan tersebut.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, sebelum ini hukuman rotan ke atas murid yang melanggar peraturan sekolah dikenakan sebagai pengajaran.
“Tetapi hukuman merotan itu hanya digunakan guru setelah cara peringatan lain tidak berhasil. Bukan sewenang-wenangnya boleh merotan.
“Kita khuatir jika cikgu langsung tidak boleh rotan murid-murid. Contoh, jika merotan juga, guru-guru akan masuk penjara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Sabtu lalu untuk menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah dalam rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan.
Hashim berkata, kesalahan merotan itu juga secara tidak langsung akan meningkatkan statistik jenayah negara.
“Dengan statistik jumlah penjenayah sudah ramai kini, tindakan itu nanti secara tidak langsung menambahkan lagi jumlah penjenayah di negara ini.
“Perangai pelajar juga dikhuatiri semakin teruk jika hukuman rotan sudah tidak dibenarkan. Adakah kerajaan sudah bersedia dengan semua itu?," soalnya.
Tambahnya, sekiranya kaedah merotan tidak lagi dibenarkan, mungkin kerajaan perlu memikirkan untuk menambah jumlah guru disiplin dan kaunseling di sesebuah sekolah.
“Tetapi semua itu akan meningkatkan kos kepada kerajaan sendiri,” katanya.-Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini