Ridhuan Tee kutuk aksi berpeluk dalam program realiti TV
Pendakwah bebas terkenal Dr Ridhuan Tee Abdullah teah tampil mengkritik rancangan realiti di televisyen yang disifatkannya sebagai menjengkelkan melalui adegan-adegan hina untuk tujuan publisiti murahan.
Beliau mempertikaikan kewajaran mengejar tarikan penonton sehingga mengetepikan soal haram dan halal serta dosa dan pahala.
Malah ujarnya, program realiti yang bersifat keagamaan juga tidak semestinya mendatang barakah jika di dalamnya berlaku kemunafikan dan mengabaikan amal makruf nahi mungkar.
Sehubungan itu, Profesor di Univerisiti Sultan Zainal Abdin (UniSZA) itu berkata, ”Bersyukur sebelum musibah melanda. Bukan sebaliknya. Musibah melanda baru insaf. Itupun masih ada yang tidak insaf.”
”Saya diberitahu, adegan program realiti gegar tv, penyanyi berusia dipeluk oleh dengan pelakon muda di atas pentas, atas alasan dibolehkan, kononnya suami atau isteri masing-masing mengizinkan perilaku hina itu,” tulisnya dalam ruangan mingguan beliau di media utama dengan judul Banjir dan program realiti TV.
”Begitu juga adegan melamar di atas pentas. Bila ditegur, melenting tak tentu pasal. Budaya apakah ini? Sanggup melakukan apa sahaja bagi mengejar rating,” tambah beliau.
Dr Ridhuan turut mengkritik rancangan realiti tv bercorak keagamaan yang disifatkannya sebagai menyedihkan kerana mengetepikan aspek ketinggian ilmu.
Jelasnya, pemilihan para peserta untuk program itu lebih memberi penekanan kepada aspek penyampaian dan menidakkan kepetingan ilmu dan keintelektualan sehingga menyebabkan matlamatnya tersasar jauh.
Beliau menambah, program realiti terbabit mengutamakan peserta yang pandai menyanyi dan melawak, sementara juri hakim tidak memiliki kelayakan ilmu tetapi hanya memberi tumpuan kepada aspek pengucapan awam.
”Kita disuruh seru dengan hikmah, atas nama dakwah. Malangnya krew yang terlibat, majoriti tidak pula diseru untuk sujud dan tunduk kepada Allah. Munafik apakah ini? Barakah apa yang dicari?” tulis beliau.
Tambahnya, ”Janganlah kita beranggapan oleh kerana musibah banjir tidak melanda stesen tv kita, maka Allah redha apa yang kita lakukan. Sudah sampai masanya kita bertaubat.”
”Ini belum termasuk kontroversi penaja rancangan yang mempromosikan air jampi. Jika begitulah mujarabnya, bawa sahaja ke penjara, minta banduan minum, selepas itu, bukalah pintu penjara, agar mereka keluar menjadi baik.” katanya yang menyifatkan rancangan realiti TV sekarang semakin mengarut.
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini