Sirul Masuk Penjara Paling Teruk Rekod Hak Asasi Di Australia
SYDNEY – Bekas komando polis, Sirul Azhar Umar dilaporkan telah dipindahkan ke sebuah penjara dengan kawalan paling ketat di pinggir bandar raya ini oleh pihak berkuasa Australia lewat Jumaat, menurut stesen penyiaran Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Sirul dilaporkan dibawa masuk ke Villawood Immigration Detention Centre, sebuah penjara kontroversi dengan keselamatan maksimum yang dibuka sejak 1976 dan terkenal memiliki rekod hak asasi manusia terburuk berbanding pusat tahanan biasa.
Pendedahan ABC itu sekali gus menafikan beberapa laporan media tempatan yang memetik sumber Wisma Putra di Putrajaya pada Jumaat kononnya mendakwa Sirul telah dibebaskan oleh pihak imigresen Australia untuk dibawa balik ke Malaysia.
Penjara Villawood lazimnya menempatkan tahanan kesalahan imigresen seperti tinggal lebih masa dibenarkan visa atau pendatang asing tanpa izin selain pencari suaka politik antarabangsa yang mahu berhijrah ke Australia atau transit ke negara ketiga lain.
Sirul Azhar, 43, disabitkan kesalahan membunuh warga Mongolia, Altantunya Shaariibuu pada 2008 bersama-sama dengan rakannya, Azilah Hadri setelah Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 13 Januari lalu membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Tertuduh gagal hadir pada hari keputusan itu diumumkan menyebabkan mahkamah mengeluarkan perintah penangkapan dan memohon bantuan kerajaan Australia untuk membawa tertuduh balik ke Malaysia bagi menjalani hukuman mati.
Dia dilaporkan sudah lama berada di Australia dan menetap bersama ahli keluarganya di Ipswich, barat Brisbane, Queensland sejak beberapa bulan selepas masuk menggunakan pasport dan visa sah pada tahun lalu.
Penguat kuasa Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia hanya bertindak menahan Sirul Selasa lalu selepas Polis Antarabangsa (Interpol) mewartakan notis merah untuk penahanan tertuduh di luar negara asal.
Namun, Australia enggan mengekstradisi Sirul balik ke tanah air kerana undang-undang negara berkenaan tidak membenarkan penghantaran pulang tertuduh bagi menjalani hukuman mati kecuali Malaysia memberi jaminan hukuman itu tidak dilaksanakan.
Jabatan Peguam Negara Australia juga setakat ini belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk ekstradisi daripada kerajaan Malaysia dan jika berlaku sekali pun, proses dijangka mengambil masa amat lama sebelum diberi kelulusan. – Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini