KAWAN mangsa, Mohd Sharizal Mat Radi (kiri) dan Syawal menunjukkan rakaman suara dirakam oleh rakan mangsa yang terselamat. Gambar kecil, anggota bomba memeriksa kenderaan mangsa. |
Muhammad Nasrullah yang cedera akibat melecur apabila kereta Honda Civic dipandu rakannya, Joeri Ramli, 34, terbakar akibat diseret treler di Kilometer 254.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, semalam menghantar pesanan itu sebaik berjaya keluar menyelamatkan diri dari kereta yang sedang terbakar.
Joeri rentung di tempat duduk pemandu selepas gagal keluar kerana tersepit apabila kereta itu terbakar dan menerusi mesej 11 saat yang dikongsi Syawal kepada media itu, boleh kedengaran tangisan Muhammad Nasrullah.
Syawal yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini, semalam, berkata, dia amat terkejut mendengar mesej suara dikirimkan Nasrullah.
“Sebelum mereka keluar rumah, Joeri dan Nasrullah mengejutkan saya dari tidur memberitahu akan ke Gerik atas urusan kerja.
“Bagaimanapun kira-kira jam 9 pagi, saya menerima mesej suara dari Nasrullah itu memberitahu mereka terbabit kemalangan, malah memberitahu Joeri meninggal dunia,” katanya.
Muhammad Nasrullah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini.
Sementara itu, ibu mangsa, Sharifah Saad, 66, yang menghidap penyakit darah tinggi hampir pitam sejurus melihat mayat anaknya ketika pengecaman, namun berjaya ditenangkan ahli keluarga.
“Dia anak paling manja dengan saya berbanding enam adik-beradiknya yang lain. Saya reda dengan pemergiannya dan jenazahnya akan dikebumikan di sebelah kubur ayahnya di Kampung Depan Balai, Bagan Serai yang meninggal dunia juga pada bulan Januari 2011 akibat kanser usus,” katanya.
Ketika kejadian, Joeri yang bekerja di Sabah dengan syarikat penapis air sedang bercuti dan tinggal bersama rakan serumahnya itu sebelum berpindah kerja ke Perak bulan depan.
Menurut Sharifah, kali terakhir dia berjumpa dengan anak ketiganya itu pada Hari Raya Adil Adha, kira-kira dua bulan lalu. - Harian Metro