Dota 2 Diiktiraf Sebagai Game Paling Berpengaruh Di Dunia
Sebut saja Dota 2, mesti ramai yang tahu dan pernah membabitkan diri dalam permainan ini. HAZRIL MDNOR akui Dota 2 mempunyai ciri permainan menarik sekaligus mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan pemain game.
Setiap genre permainan video mempunyai peminatnya yang tersendiri. Apa yang jelas, genre Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) antara yang paling popular dalam kalangan remaja bukan saja di Malaysia tapi di seluruh dunia.
Laporan yang dikeluarkan oleh GameSpot mendapati lebih sejuta pemain Defence of the Ancients 2 (Dota 2) aktif pada 15 Februari lalu di aplikasi Steam. Pencapaian ini menobatkan Dota 2 sebagai ‘game’ paling popular di Steam dan yang pertama dalam landasan itu yang berjaya mencecah angka sejuta pemain dalam sehari.
Difahamkan, kejayaan Dota 2 diiktiraf sebagai ‘game’ paling berpengaruh di dunia hari ini banyak sekali dipengaruhi oleh populariti yang diraih dalam versi pertama iaitu Dota.
‘Game’ itu pertama kalinya diperkenalkan di dunia pada 2003 yang lalu merangkumi pelbagai corak permainan menarik seperti konsep perlawanan berulang sekali gus berjaya memukau perhatian semua orang.
Berikutan ramai pemain yang mula berkecimpung dalam ‘game’ itu, Valve Corporation berusaha mendapatkan hak milik untuk memajukan versi pertama Dota dan akhirnya berjaya mengeluarkan sekuel kedua iaitu Dota 2 (2013) yang mempunyai pelbagai pembaharuan dari segi grafik, konsep permainan dan sebagainya.
KONSEP PERMAINAN
Secara ringkasnya, konsep permainan Dota 2 berkisarkan pada kebijaksanaan pemain mengawal satu daripada 110 hero untuk memusnahkan ‘Artifak Purba’ musuh di dalam perlawanan lima lawan lima. Hero yang dikawal pemain bermula dari peringkat pertama dan boleh ditingkatkan melalui pertempuran bersama pihak lawan hingga mencapai peringkat ke-25.
Untuk setiap peringkat, hero pemain diberi akses kepada set kuasa baru malah kekuatan hero akan bertambah. Perlu diketahui, setiap satu hero dalam Dota 2 mempunyai teknik pertempuran berbeza bergantung ciri utama iaitu kekuatan, ketangkasan dan kecerdasan.
Setiap perlawanan Dota 2 bertempat di peta bentuk simetri merangkumi dua buah puak yang sering bertelagah, Radiant dan Dire. Puak Radiant bertempat di barat daya peta manakala Dire pula terletak di sudut timur laut. Di tengah peta wujud pula sungai yang membahagikan kawasan antara Radiant dan Dire.
Selain itu, Dota 2 mempunyai sistem lorong yang menghubungkan Radiant dan Dire demi mewujudkan persaingan antara kedua belah pihak. Umumnya, lorong terbahagi kepada tiga dan setiap darinya dijaga oleh menara pertahanan dan juga raksasa kecil dipanggil ‘creeps’ yang muncul dalam bentuk kumpulan dan menyerang sesiapa saja yang mereka hadapi.
Terdapat juga sekumpulan raksasa digelar ‘neutral creeps’ yang tidak memihak pada sesiapa dan muncul dalam kawasan hutan saja. Roshan pula adalah ketua raksasa dalam Dota 2 dan lebih kuat berbanding yang lain malah beberapa hero perlu berkerjsama untuk mengalahkannya.
Selepas saja mati, Roshan akan menjatuhkan artifak berharga seperti ‘Aegis of the Immortal’ yang membolehkan pemain hidup kembali di lokasi sama selepas mati dibunuh.
Menariknya, Dota 2 mempunyai sistem barang yang boleh disimpan dalam inventori. Namun hanya enam barang boleh disimpan oleh pemain dalam sesuatu masa. Uniknya, setiap barang yang dipakai oleh pemain memberikan pelbagai kelebihan berbeza seperti menambahkan kekuatan karakter ataupun memberi akses kepada kuasa istimewa.
Barang ini hanya boleh dibeli menggunakan sejenis mata wang iaitu emas. Emas pula boleh diperolehi apabila pemain membunuh raksasa kecil. Namun, jumlah emas yang banyak hanya diperoleh apabila hero berjaya dibunuh. Setiap pemain dalam kumpulan akan memperoleh emas apabila Roshan dikalahkan ataupun menara pertahanan lawan dihancurkan.
Akhir sekali, ‘denying’ adalah satu fungsi khas yang hanya didapati dalam Dota dan Dota 2 di mana pemain boleh menghalang musuh mendapat emas dan ‘experience’ dengan membunuh raksasa kecil atau menjatuhkan menara pertahanan dari pihak mereka sendiri. - Harian Metro
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini