Ketua Penerangan Pemuda PAS Jawab Isu Hudud Yang Dipertikaikan Datuk Noor Farida Ariffin
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaie Ismail, telah tampil menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Datuk Noor Farida Ariffin yang telah mempertikaikan hukum Hudud yang bakal dibentangkan kerajaan Negeri Kelantan nanti.
Sebelum ini Datuk Noor Farida Ariffin telah mempersoalkan Hudud yang akan dilaksanakan PAS Kelantan dengan menyifatkan sistem yang diguna pakai tersebut menggunakan bukti kurun ke-12 untuk pembuktian untuk kes zina, menolak bukti saintifik.
BACA: Pedofil Akan Berkerumun Ke Kelantan Jika Hudud Dilaksanakan - Datuk Noor Farida Ariffin
Farida juga telah berkata jika hudud dilaksanakan di Kelantan, pesalah laku seksual kanak-kanak sudah pasti akan berkerumun di Kelantan. Di sana mereka boleh rogol kanak-kanak atau orang dewasa jika ia dilaksanakan di negeri tersebut.
Berikut adalah jawapan dari Nasaie terhadap kenyataan Datuk Farida tersebut. - Siakapkeli.com.my
MENJAWAB KENYATAAN DATUK NOOR FARIDA ARIFFIN BERKAIT ISU HUDUD
Saya merujuk kenyataan Datuk Noor Farida Ariffin jurucakap G-25 berkait isu hudud.
1. Kenyataan beliau bahawa, "Pesalah laku seks kanak-kanak akan berkerumun di Kelantan kerana di sana mereka boleh rogol kanak-kanak atau orang dewasa."
Kenyataan ini sangat prejudis, menghina dan jauh daripada bersifat ilmiah. Sepatutnya beliau yang berucap mewakili golongan cendikiawan G-25 berhujah secara rasional dan bukan dengan sentimen yang penuh buruk sangkanya terhadap hudud. Rujukan beliau bahawa pesalah rogol akan mudah terlepas hukuman disebabkan hanya empat saksi diterima dan bukti saintifik ditolak, jauh menyimpang daripada maksud sebenar. Beliau memberi gambaran mudahnya perogol dibebaskan, sedangkan banyak peringkat hukuman lain seperti takzir yang akan dilalui oleh pesalah tersebut.
Saya keliru, kerana selama ini beliau mempromosikan Malaysia yang sederhana dan menolak tindakan ekstrim yang akan merosakkan masa depan Malaysia. Tetapi ucapan beliau tersebut menggambarkan beliau sendiri terjerumus kepada bersikap ekstrim, emosional dan berlaku tidak adil kepada pihak lain.
2. Kita juga menuntut Datuk Noor Farida kemukakan satu solusi penyelesaian kepada jenayah yang berleluasa dalam negara kita. Jika anda menolak hudud sebagai penyelesaiannya, adakah ada solusi yang lain yang boleh dikemukakan yang terbukti berkesan menjegah jenayah dan beri keadilan kepada semua pihak.
3. Pemuda PAS Malaysia juga menjemput Datuk Noor Farida Ariffin untuk berdialog berkenaan isu hudud ini untuk menjelaskan kekeliruan dalam hal ini. Harapan kami agar pelawaan ini diterima sejajar dengan perjuangan beliau untuk melihat Malaysia yang lebih sederhana, bebas ekstrimisme dan memberi keadilan untuk semua pihak.
Mohd Nasaie Ismail
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia
8.45pm
7 Februari 2015
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini