Paip kimia bocor, dua anggota bomba masuk wad
BANDARAYA MELAKA – Sebuah kilang elektronik terbakar apabila peralatan mengisi bahan kimia jenis potassium cilver cyanide sejumlah 1,200 liter yang mengandungi asid sulfat 500 liter bocor di Kawasan Perdagangan Bebas, Batu Berendam, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.18 pagi itu melibatkan satu bahagian operasi yang menggunakan bahan kimia tersebut.
Timbalan Penguasa Bomba Bahagian Operasi negeri, Kamarulzaman Mohd Din berkata, bomba menerima panggilan pada jam 8.18 pagi dan tiba ke tempat kejadian empat minit kemudian.
Menurutnya, 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Bukit Katil dan Ayer Keroh, dikerahkan ke tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 8.52 pagi.
“Kita mendapati tiga baris paip mesin yang mengandungi bahan kimia ini bocor.
“Bomba membuat proses nyah cemar kerana bahan kimia ini sudah bercampur air dan walaupun tiada api tetapi amat berbahaya kepada anggota penyelamat,” katanya.
Beliau berkata, semasa kejadian seramai 55 pekerja kilang berkenaan sedang bertugas dan bergegas ke luar bangunan apabila sistem penggera kebakaran berbunyi.
Bagaimanapun, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Dua masuk wad
Sementara itu, dua daripada 12 anggota bomba yang melakukan kerja pemadaman api dimasukkan ke wad selepas menerima rawatan di Hospital Melaka.
Selain anggota bomba terlibat, seorang pekerja kilang elektronik berkenaan juga menerima rawatan di hospital sama.
Kamarulzaman berkata, dua anggota bomba itu dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut kerana mengalami simptom pening kepala.
Malah menurut beliau, empat daripadanya pula ditahan untuk pemerhatian selama 24 jam dan tujuh lagi ditahan enam jam sehingga 6 petang semalam bagi memastikan mereka bebas simptom akibat kebocoran bahan kimia terbabit.
“Tanda-tanda seseorang boleh terkena potassium silver cyanide ini mereka akan mengalami loya, tekak kering, pening kepala, gatal-gatal dan muntah.
“Sekiranya tiada simptom, dua anggota bomba yang ditahan selama enam jam ini mungkin dibenarkan balik selain ada anggota terpaksa diberikan bantuan oksigen,” katanya. - Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
