Pandangan Berbeza Mengenai Cadangan Perkenal Ujian Memandu Warga Emas
PETALING JAYA: Seorang pemandu teksi berusia 80 tahun hilang, seorang wanita berusia 61 tahun melanggar kedai serbaneka dan seorang lelaki berusia 70 tahun merempuh sebuah bank.
Persoalan yang timbul, adakah warga emas perlu menduduki semula ujian memandu dan wajib melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka sihat untuk memandu?
Negara-negara lain seperti Singapura, United Kingdom dan Australia telah memperkenalkan ujian yang sama.
Pemandu teksi Nordin Mohd Som, 68, berkata mengadakan semula ujian adalah baik untuk semua pihak dan menggesa warga emas melihatnya secara terbuka jika ujian semula dilaksanakan untuk mereka.
"Ujian semula adalah untuk kebaikan kita sendiri dan juga kebaikan semua orang. Saya tidak pasti sama ada pemandu lain akan menerimanya tetapi jika anda bertanya kepada saya, ia adalah satu langkah yang baik untuk dilaksanakan.
"Ada sesetengah pemandu yang benar-benar berpengalaman dan memandu dengan baik tetapi akhirnya, sama ada anda berpengalaman atau tidak, sedikit kesilapan boleh membawa maut. Mereka boleh mengurangkan kejadian ini dengan menduduki ujian semula," kata Nordin.
Pada 18 Januari, satu kesilapan tidak disengajakan mengakibatkan kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 70 tahun merempuh sebuah bank di Damansara Uptown dalam kejadian pada malam Ahad, memecahkan panel kaca sebelum melanggar dinding di sebelah mesin ATM bank itu.
Dua hari kemudian, seorang pemandu teksi berusia 80 tahun yang mempunyai 20 cucu dan tiga cicit, hilang di Kajang bersama-sama dengan kenderaannya.
Pada 3 Februari, seorang wanita berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan apabila kenderaan yang dinaiki merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Jalan PJU 1A / 20.
Nordin menggesa pihak berkuasa menjalankan ujian memandu baharu bersama pemeriksaan perubatan menyeluruh bagi pemandu yang telah berusia lebih 60 tahun.
"Saya mempunyai seorang sahabat berusia 75 tahun dan masih memandu teksi. Dia pergi menjalankan pemeriksaan kesihatan untuk memastikan dia boleh memandu.
"Oleh itu, saya menggesa pihak berkuasa mewajibkan pemeriksaan kesihatan untuk semua pemandu terutamanya warga emas. Ujian psikologi juga perlu dijalankan bagi memastikan mental mereka sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga pada setiap masa, " kata Nordin.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Dr Tam Weng Wah sebaliknya percaya umur tidak boleh digunakan sebagai kriteria untuk menguji semula pemandu.
"Adalah lebih baik jika pemandu yang kerap melakukan kesalahan trafik dilatih dan diuji semula sebagai satu bentuk pemulihan. Menggunakan usia sebagai kriteria agak subjektif kerana ia bergantung kepada individu.
"Selagi pemandu itu sihat dan mampu memandu, mereka harus dibenarkan memandu.
"Walau bagaimanapun, kami merasakan mungkin ada keperluan untuk dari segi pendidikan dan nasihat mengenai apa yang patut disedari oleh pemandu yang telah berusia , " katanya.
Seramai 556 orang yang berusia lebih 60 tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 2013; mengikut statistik yang dikeluarkan oleh bahagian trafik Bukit Aman.
Kira-kira 11 peratus dari 5,213 kematian yang direkodkan adalah mereka yang berumur 61 dan ke atas dan ia adalah peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding 2012.
Di Singapura, pemandu berusia 65 tahun ke atas perlu menjalani pemeriksaan perubatan tahunan yang akan dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar.
Menurut laman web Polis Trafik Singapura , sebaik sahaja mereka disahkan sihat untuk memandu kenderaan kelas tertentu , mereka perlu menjalani ujian kecekapan memandu dan jika mereka lulus ujian itu, lesen memandu mereka akan disahkan.
Di United Kingdom semua pemandu perlu memperbaharui lesen memandu mereka apabila mencapai umur 70 tahun dan setiap tiga tahun selepas itu.
Melengkapkan borang pembaharuan bermakna mereka membuat pengisytiharan sendiri, menggunakan pertimbangan sendiri dengan menyatakan bahawa mereka masih boleh memandu. Mereka tidak perlu melalui ujian semula atau ujian perubatan apabila memperbaharui lesen.
Di Australia Selatan, jika anda berusia 85 tahun atau lebih tua dan memegang lesen memandu kenderaan selain daripada kereta, anda perlu lulus ujian memandu praktikal setiap tahun untuk mengekalkan lesen kelas kenderaan tersebut.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), setakat ini tidak ada penyelidikan atau kajian semula dijalankan khusus untuk memastikan kecergasan pemandu.
Walau bagaimanapun, Unit Pencegahan dan Sains Kecederaan Kemalangan (CRIS-P) telah menilai kekerapan pemeriksaan perubatan sebagai pra-syarat untuk pelesenan pemandu kenderaan komersil di Malaysia pada tahun 2009.
"Penilaian ini mengesyorkan frekuensi pemeriksaan kesihatan yang berbeza bagi umur di bawah 45 tahun dan yang berusia 45 tahun dan ke atas berhubung status perubatan.
"Walau bagaimanapun, keperluan ini khusus untuk kumpulan pemandu kenderaan komersial," kata Miros kepada The Star Online.
Ketua Pengarah Miros Prof Dr Wong Shaw Voon berkata kecergasan untuk memandu adalah sangat penting dan jika pihak berkuasa melaksanakan ujian perubatan atau ujian semula, beliau akan mengalu-alukan inisiatif tersebut.
"Pemandu kereta persendirian perlu menjalani pemeriksaan perubatan dan sebenarnya adalah penting untuk mereka melakukan ujian lengkap. Ini bagi memastikan bahawa mereka selamat di jalan raya dan mereka tidak membahayakan orang lain.
"Walau bagaimanapun, jika ia dilaksanakan, ia akan menyebabkan kesan kepada ekonomi sosial dan pihak berkuasa perlu mengkaji dengan baik sebelum meneruskan inisiatif ini.
"Kita mesti pastikan mesti ada hasil yang baik pada akhir inisiatif ini. Perancangan adalah penting kerana kita tidak mahu ia memberi kesan kepada masyarakat dan negara, "kata Dr Wong.
Keperluan untuk membuat penilaian kognitif yang betul terhadap seseorang warga emas adalah diperlukan untuk memastikan dia sihat untuk memandu, kata Pakar Perunding Psikologi Datuk Dr Andrew Mohanraj.
"Jelas sekali penglihatan perlu diuji, juga kekuatan otot untuk memastikan motor dapat difungsikan dengan betul seperti menggunakan kadar tekanan brek dengan betul," katanya.
"Untuk mereka yang sudah berusia, sebagai tambahan kepada ujian fizikal dan visual biasa, terdapat keperluan untuk membuat penilaian kognitif yang sepatutnya.
"Untuk mereka yang sudah berusia dengan ciri-ciri demensia, mungkin ada defisit dalam orientasi dan memori dalam pengekalan dan penarikan balik maklumat. Ini boleh membawa kepada pemanduan berbahaya, menyebabkan kemalangan jalan raya.
"Seorang pemandu dengan demensia Alzheimer boleh mempamerkan perasaan cepat marah secara tiba-tiba dan kemarahan yang membawa kepada tingkah laku ganas di jalan raya," kata Dr Mohanraj.
Sesetengah pemandu warga emas percaya bahawa ujian fizikal dan mental yang menyeluruh sudah cukup untuk mereka.
Yassin Hamzah, 64, berkata, pada usia mereka, mereka akan melalui beberapa tekanan emosi dan sebagainya tetapi kebanyakan rakan-rakannya tidak mempunyai masalah memandu.
"Berbanding ujian semula yang, kempen kesedaran perlu dilakukan untuk memastikan mereka mengekalkan tumpuan mereka. Ahli-ahli keluarga juga perlu memantau mereka.
"Jika mereka berada di tahap 80 peratus tidak sesuai untuk memandu, maka ahli keluarga harus menghalang mereka daripada memandu. Pemeriksaan perubatan akan membantu dan pihak berkuasa perlu mengadakan pemeriksaan tahunan untuk mereka, " kata pesara.
Walau bagaimanapun, jika pemandu terpaksa menanggung kos pemeriksaan, Yassin bimbang mungkin ada yang enggan melakukannya.
Zahir Abdullah, 70, berkata, jika ujian semula dilakukan, mereka perlu mengeluarkan wang tambahan hanya untuk memastikan bahawa mereka boleh terus memandu. Beliau berkata, tidak kira usia, semua pemandu cenderung untuk menghadapi masalah daya tumpuan.
"Biar saya berikan senario ... Adakah anda menaiki kenderaan bersama seorang lelaki berusia 21 tahun yang memandu dalam keadaan tidak sedar diri atau seorang lelaki berusia 70 tahun yang mempunyai rehat yang cukup? Bagi saya umur bukan faktor, ia adalah pembawakan diri anda.
"Apa yang pihak berkuasa perlu lakukan adalah menjalankan ujian mata terhadap mereka di atas usia 60 dan juga melihat sama ada mereka layak untuk memandu dari segi mental dan fizikal. Pemeriksaan seperti itu adalah lebih penting daripada ujian semula," katanya. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini