Penduduk China datang ke Hong Kong untuk beli belah cetuskan tunjuk perasaan
Hubungan China dengan Hong Kong dicemari dengan tunjuk perasaan yang bertujuan menentang aktiviti membeli-belah oleh penduduk dari Tanah Besar.
China Press melaporkan, ketibaan Tahun Baharu Cina mendorong ramai penduduk dari Tanah Besar China memilih untuk membeli-belah di Hong Kong.
Tidak kurang daripadanya merupakan 'pemborong' yang membeli secara pukal di Hong Kong sebelum menjualnya dengan harga lebih tinggi di Tanah Besar China.
Fenomena itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk Hong Kong yang memanggil tunjuk perasaan di Tuen Mun, salah satu lokasi yang menjadi tumpuan pembeli dari Tanah Besar China.
Ahad lalu, ratusan orang telah menyahut seruan yang disampaikan melalui laman Facebook dan mengadakan tunjuk perasaan di Tuen Mun.
Keadaan itu menyebabkan penduduk Hong Kong dan pembeli dari Tanah Besar bertekak sehingga polis perlu datang untuk mengawal keadaan dan menyuraikan orang ramai menggunakan penyembur lada hitam.
Sementara itu di Jepun, pelancong China yang membeli periuk nasi dan peralatan tandas secara pukal di Jepun turut mencuri perhatian.
Jejak pelancong China bagaimanapun tidak terhad di Asia sahaja, rakyat negara itu turut didapati membeli tepung susu secara pukal di pasar raya di Frankfurt, Jerman sehingga terdapat pasar raya yang kekurangan stok.
Pasar raya turut meletakkan papan tanda dalam bahasa Cina mengehadkan pembelian kepada tiga paket untuk setiap pelanggan.
Selepas insiden tepung susu beracun pada 2008, ramai penduduk China kurang yakin terhadap produk tenusu tempatan mendorong mereka membeli secara pukal produk berkenaan dari luar negara dan mengirimnya ke China. - Malaysiagazette
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini