Stesen minyak gulung tikar jika harga terus jatuh
Kuala Lumpur: Pengusaha stesen minyak di negara ini bakal berdepan kerugian dan berkemungkinan boleh gulung tikar jika harga minyak berterusan menjunam.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Hashim Othman berkata, penurunan harga yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini, menyebabkan ada pengusaha stesen minyak berdepan kerugian antara RM10,000 dan RM50,000.
“Kerugian berkenaan adalah anggaran kasar untuk setiap pengusaha dan ia berbeza bergantung kepada jumlah tangki yang ada.
“Ada pengusaha hanya memiliki tiga tangki saja dan ada yang mencapai had maksimum iaitu lapan tangki,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut Hashim, sebelum ini pihaknya tidak menjangkakan harga minyak jatuh sehingga 35 sen seliter pada penghujung tahun lalu menyebabkan ramai pengusaha mengalami kerugian besar.
Katanya, ketika itu ada pengusaha stesen minyak yang mengalami kerugian hingga RM100,000 kerana harga berkenaan adalah antara terendah sejak 2009.
“Kali ini kita sudah bersedia dengan beberapa langkah untuk membantu mengurangkan kerugian.
“Ini kerana kita tidak mahu berterusan mengalami kerugian,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan melupuskan stok lama sekiranya bekalan yang ada masih mencukupi untuk tempoh tertentu.
Katanya, langkah itu sedikit-sebanyak dapat mengurangkan kerugian yang dialami pengusaha stesen minyak di negara ini.
“Ketika kerajaan melaksanakan langkah menstabilkan harga minyak tidak lama dulu, pengusaha masih mendapat keuntungan berbanding dengan kaedah penetapan harga seiring dengan harga pasaran minyak mentah dunia.
“Kami merayu supaya kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi membantu mengurangkan kerugian yang ditanggung kerana jika berterusan, tidak mustahil perniagaan kami boleh terjejas,” katanya. - Harian Metro
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini