Terpaksa bawa suami hidap strok ke jeti
KUANTAN - Setiap hari dia akan membawa suaminya yang mengalami strok ke jeti nelayan Kempadang kerana tidak sanggup meninggalkan si suami sendirian di rumah.
Itulah rutin setiap bagi warga emas, Kalsom Awang, 59, sejak suaminya, Abu Bakar Johar, 79, disahkan mengidap strok sebelah kiri badan sejak empat bulan lalu.
Kalsom berkata, dia dan suami mencari rezeki dengan menjadi nelayan sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurutnya, suaminya mengalami strok ketika berada di laut bersama dua anak iaitu Mohd Khairul, 21, dan Mohd Riduan, 17.
“Pada mulanya keadaan dia sangat pucat ketika turun ke laut sebelum anak-anak bawa dia balik semula ke rumah.
“Apabila sampai di rumah, dia rebah dalam pangkuan saya dan terus tidak boleh bergerak dan bercakap,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kempadang di sini.
Kalsom berkata, dia kini harus melepaskan tugas ke laut kepada dua anaknya kerana dia perlu menjaga suaminya.
Katanya, kedua-duanya anaknya turun ke laut manakala dia akan menjual hasil tangkapan di jeti tersebut.
“Setiap hari iaitu jam 8 pagi hingga 2 petang, saya akan berada di jeti ini, manakala suami diletakkan di atas kerusi malas sementara saya siap menjual ikan.
“Bila kenangkan keadaan suami, saya sedih kerana dulu kami sama-sama turun ke laut mencari rezeki tapi sekarang dia terlantar sakit,” katanya.
Kalsom berkata, dia terpaksa menyediakan perbelanjaan sebanyak RM800 sebulan untuk membeli keperluan seperti lampin pakai buang dan susu khas yang dicadangkan doktor.
Katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada pendapatan menjual ikan yang diperoleh setiap hari.
“Kalau boleh saya mohon bantuan dari pihak bertanggungjawab agar dapat meringankan perbelanjaan yang ditanggung,” katanya.-Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini