95 Tahanan Berjaya Loloskan Diri Dari Penjara IS
Beirut: Kira-kira 95 tahanan termasuk pejuang Kurdis berjaya meloloskan diri dari penjara dikendalikan militan Negara Islam (IS) di utara Syria sebelum kebanyakannya ditangkap semula.
Kejadian berlaku di bandar al-Bab, 30 kilometer dari sempadan Turki, lapor pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).
IS mengawal kawasan di sekitar utara Syria dan turut mempunyai penjara, mahkamah serta kemudahan lain yang juga sebagai usaha memperluaskan kerajaan khalifahnya ke Iraq.
Tahanan yang melarikan diri dari penjara itu termasuk 30 pejuang Kurdis dan anggota batalion Islam yang menentang IS.
IS meletakkan bandar itu dalam keadaan berjaga-jaga selain menggunakan pembesar suara bagi mengarahkan penduduknya menangkap tahanan yang terlepas itu. Difahamkan, dua pertiga daripada tahanan terbabit sudah ditangkap semula.
Pengarah SOHR Rami Abdulrahman berkata: “Mereka (IS) mewujudkan tempat pemeriksaan baru dan melakukan pemeriksaan rumah ke rumah.”
“IS masih menguasai bandar itu namun kejadian ini menunjukkan kelemahan pegangan mereka memandangkan begitu banyak tahanan terlepas.”
Beberapa tahanan berjaya melepaskan diri dari satu lagi penjara di bandar, Sabtu lalu, sebelum cuba memasuki sempadan Turki. Mereka turut termasuk pejuang IS dari Eropah yang dihalang melarikan diri oleh rakan sendiri.
Selepas kejadian itu, militan IS memindahkan semua tahanannya ke penjara lebih kecil yang menjadi tempat kejadian semalam. - Reuters
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini