Iraq berjaya tawan bandar Tikrit dari IS
Dubai: Tentera Iraq semalam dilapor berjaya memasuki Tikrit dan membebaskan bandar itu daripada penguasaan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Beberapa laporan media mendakwa tentera Iraq mengibarkan bendera negara itu di atas bumbung sebuah hospital di tengah Tikrit.
Agensi berita Lubnan, Al Mayadeen melaporkan, tentera Iraq yang disokong militan tempatan berjaya memasuki penempatan Al Qadisiya di tengah Tikrit dan menawan semula hospital tentera di situ.
Tentera Iraq juga berjaya memutuskan laluan bekalan dari Tikrit ke Mosul.
Bagaimanapun, ketika askar Iraq mara ke Tikrit, militan IS melancarkan siri serangan terancang di Ramadi semalam melibatkan tujuh serangan bom kereta berani mati secara serentak.
Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 30 lagi cedera dalam serangan berkenaan.
Pegawai keselamatan berkata, terdapat laporan bahawa militan IS yang mempertahankan Tikrit mula berundur.
Seorang pegawai di pusat perintah tentera wilayah Salahuddin kelmarin berkata, askar Iraq berjaya mara dan kini berada beberapa meter dari bangunan utama termasuk pejabat daerah, pejabat kerajaan dan mengepung istana bekas Presiden Saddam Hussein di pinggir bandar.
Kebanyakan militan IS dipercayai mula berundur dari Tikrit kerana tentangan yang diterima askar kerajaan semakin berkurangan.
“Bagaimanapun, mereka mara dengan berhati-hati kerana bimbang dengan jerangkap samar dan serangan bom berani mati,” katanya.
Kejayaan itu dicapai hampir seminggu pertempuran sengit tercetus selepas tentera Iraq melancarkan kempen untuk menawan Tikrit semula.
Tikrit mempunyai kepentingan dari segi strategik dan emosi selepas militan IS menawan bandar itu dalam satu serangan kilat dalam usaha mara ke Baghdad pada Jun lalu. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini