IS mengaku serangan di Tunis angkaranya
Tunis: Kumpulan Negara Islam mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas pelancong asing di muzium di sini yang mengakibatkan 21 maut.
Dalam mesej audio yang disiarkan dalam Internet kelmarin, IS berkata: “Dua kesatria Negara Islam.....yang lengkap bersenjata automatik dan bom tangan menyasarkan Muzium Bardo.”
Kumpulan itu yang mempunyai ratusan anggota tempatan mengancam akan melancarkan lebih banyak serangan.
“Apa yang anda lihat baru permulaan,” kata mesej itu.
Menurut pihak berkuasa, 3,000 warga Tunisia pergi ke Iraq, Syria dan Libya untuk menyertai kumpulan jihad. Keadaan ini sekaligus menimbulkan kebimbangan mereka akan kembali ke negara asal untuk merancang serangan.
Pegawai kanan kementerian dalam negeri Rafik Chelli memberitahu, dua pelampau bersenjata yang membunuh 21 orang di muzium itu dilatih di negara jiran Libya sebelum melancarkan serangan maut berkenaan.
Mereka menyelinap keluar dari Tunisia Disember lalu dan menerima latihan senjata di Libya sebelum kembali.
Katanya, pihak berkuasa bagaimanapun tidak mempunyai maklumat mengenai di mana atau dengan kumpulan mana mereka dilatih.
Kedua-dua lelaki bersenjata terbabit dikenal pasti oleh pihak berkuasa sebagai Yassine Abidi dan Hatem Khachnaoui. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini