Lufthansa bawa waris mangsa ke lokasi nahas hari ini
BARCELONA: Lufthansa akan mengatur dua penerbangan dari Sepanyol dan Jerman hari ini bagi membawa waris keluarga mangsa ke lokasi nahas pesawat Germanwings di selatan Perancis untuk melihat sendiri kawasan berkenaan, kata ketua eksekutif syarikat itu.
"Kami sedang mengatur urusan ini bersama pihak berkuasa Perancis bagi membolehkan waris keluarga mangsa yang ingin melihat secara lebih dekat tempat nahas, mereka boleh berbuat demikian esok (hari ini)," kata Ketua Eksekutif Lufthansa, Carsten Spohr.
"Kami akan menyediakan penerbangan khas Lufthansa pagi esok dari Barcelona pada jam 8.45 pagi (waktu tempatan) ke Marseille," katanya.
"Urusan ini akan mendapat kerjasama pihak berkuasa Perancis yang akan membawa waris keluarga dan rakan mangsa di pusat bantuan keluarga berdekatan lokasi nahas yang masih ditutup dan akan kekal begitu."
Sehubungan itu, sebuah pesawat lain akan berlepas dari bandar raya Jerman, Duesseldorf menuju bandar di selatan Perancis, Marseille.
Lufthansa dalam kenyataan berkata, pesawat berkenaan akan berlepas pada kira-kira jam 8.40 pagi waktu tempatan.
"Atas sekatan keselamatan membabitkan penyiasatan itu, waris keluarga yang ingin ke Marseille akan dibawa paling dekat dengan lokasi nahas berkenaan," kata kenyataan itu.
Germanwings ialah syarikat penerbangan tambang murah milik Lufthansa. - AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini