Malaysia negara ke 14 paling sejahtera di dunia
NEW YORK 4 Mac – Malaysia menduduki tangga ke-14 bagi negara ekonomi paling sejahtera di dunia dalam ‘Indeks Kesengsaraan’ dengan markah lebih 6.5 peratus pada 2015 mengatasi Jerman yang berada di kedudukan ke-15.
Berdasarkan laporan kaji selidik ahli-ahli ekonomi yang dijalankan Bloomberg News mendapati, Thailand berada di kedudukan paling teratas diikuti Switzerland, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Menurut laporan tersebut, pengangguran yang rendah di Thailand iaitu di bawah satu peratus, setakat ini gagal untuk merangsang inflasi.
“Bagaimanapun, Thailand yang pada masa ini masih di bawah undang-undang tentera selepas rampasan kuasa tahun lepas mempunyai perjalanan yang jauh untuk mencapai taraf hidup standard seperti di negara ekonomi membangun,” katanya.
Kaji selidik itu dijalankan ke atas 51 buah negara termasuk Eropah tahun ini mengambil kira pengiraan Bloomberg daripada apa yang dikenali sebagai ‘indeks kesengsaraan’. Dua faktor iaitu inflasi dan pengangguran yang menyebabkan pengguna tidak gembira, dilihat begitu rendah bagi negara terlibat.
Dalam pada itu, bagi negara seperti Switzerland yang mana hanya 3.3 peratus daripada penduduknya berkemungkinan menjadi penganggur tahun ini, penurunan harga kira-kira 0.9 peratus tahun ini akan membantu mengurangkan impak daripada lonjakan mata wang.
Bagaimanapun, keadaan itu sudah cukup baik bagi Switzerland, yang juga negara keempat terkaya di dunia untuk meletakkan penduduk-penduduknya dalam kalangan negara paling kurang indeks kesengsaraan. Sekarang kurang skor yang diperoleh, semakin baik kedudukan sesebuah negara dalam indeks tersebut.
Sementara itu, Jepun pula yang berdepan dengan deflasi sejak 1990-an akan menyaksikan kadar inflasi pada tahap sekurang-kurangnya satu peratus tahun ini.
“Malah, kadar pengangguran (di Jepun) juga dijangka berada pada paras 3.5 peratus berbanding 3,6 peratus tahun lalu,” kata laporan berkenaan. - Utusan Malaysia
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini