Pengganas IS semakin menggila
KUALA LUMPUR – Polis mengesan dua rakyat Malaysia yang disyaki turut bersubahat menyembelih seorang tawanan perang kumpulan militan Islamic State (IS) di Raqqa, Syria pada awal tahun ini.
Tindakan tidak berperikemanusiaan melibatkan rakyat negara ini disahkan menerusi satu rakaman klip video terbaharu yang dimuat naik di laman sosial Facebook pemilik akaun menggunakan nama Abu Hamzah Al-Fateh pada 22 Februari lalu.
Dalam rakaman video berdurasi 30 saat itu, seorang lelaki Syria kelihatan sudah dipenggal kepalanya dipercayai dilakukan oleh lelaki Arab selepas mangsa didakwa menjadi pengintip kepada rejim tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Selepas penyembelihan itu, kelihatan seorang lelaki dipercayai rakyat Indonesia memegang dan mengangkat kepala tersebut sambil melaungkan ‘Allahuakbar’ manakala kedengaran suara lelaki yang menjerit-jerit dalam Bahasa Melayu: “Tangkap gambar dia (kepala dipenggal), video, video.”
Sehingga pukul 7 malam, klip video itu ditonton seramai 7,761 orang dengan 213 like selain dikongsi oleh 214 pengguna Facebook lain. Sebanyak 55 komen ditulis dengan kebanyakan menyokong tindakan kejam tersebut.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, klip video itu dipercayai dirakam oleh seorang rakyat Malaysia bernama Mohd. Faris Anuar.
“Faris, 20, dari Gurun, Kedah dipercayai telah pergi ke Syria pada 23 September tahun lalu,” kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam. - Kosmo!
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini