Paras Air 2 Empangan Utama Di Negeri Sembilan Dan Johor Berada Dalam Tahap Membimbangkan
KUALA LUMPUR – Cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak Februari lalu telah menyebabkan paras air empangan di Negeri Sembilan dan Johor semakin rendah dan berada pada tahap yang membimbangkan.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim (gambar kecil) berkata, sehingga 2 Mac lalu, paras air di Empangan Gemencheh di Negeri Sembilan ialah 93.90 meter (m) berbanding paras kritikal iaitu 95m.
Menurut beliau, paras air di Empangan Sungai Lebam, Johor pula ialah 11.55m berbanding paras kritikal 12.27m.
Ismail berkata, kedua-dua negeri tersebut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sekiranya keadaan semakin meruncing, catuan air membabitkan kawasan tertentu di Johor dan Negeri Sembilan akan dilaksanakan.
“Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bakal melaksanakan beberapa langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah tersebut antaranya memasang paip bersaiz 900 milimeter (mm) sepanjang 5.25 kilometer (km) untuk membuat penyambungan ke sistem agihan sedia ada dari Loji Rawatan Air Gemencheh yang dijangka mengambil masa tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ismail berkata, pihak Sains juga akan membina stesen pam dan paip sepanjang 15km untuk mengepam air mentah dengan kapasiti 54 juta liter sehari (JLH) dari Sungai Jelai di Johol ke Empangan Gemencheh.
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini