Pegawai China dakwa pemakaian purdah dan tudung punca aktiviti ekstremis agama
Beijing: Seorang pegawai kanan Parti Komunis China di bandar Kashgar di Xinjiang semalam mendakwa tudung dan purdah yang dipakai wanita di wilayah paling ramai umat Islam di negara itu sebagai punca utama merebaknya fahaman ekstrem agama.
Dalam wawancara dengan Reuters, Zeng Cun juga menyifatkan pemakaian tudung dan purdah dalam kalangan wanita Islam itu sebagai langkah berundur ke belakang.
“Kita perlu melangkah ke depan sebagai negara sekular dan moden. Tetapi sejak tahun lalu, beberapa kawasan di Kashgar menyaksikan semakin ramai wanita memakai purdah dan tudung. Ini sama dengan berundur ke belakang, bertentangan dengan langkah yang kita ambil,” kata Zeng.
Kashgar dan kawasan sekitar selatan Xinjiang menyaksikan ketegangan etnik terburuk di wilayah itu, membabitkan etnik Uighur yang beragama Islam dengan masyarakat Han, etnik terbesar di China.
Kumpulan Uighur di luar negara dan aktivis hak asasi manusia berkata, dasar keras kerajaan dalam menindas etnik itu, termasuk mengekang kebebasan melaksanakan ajaran Islam, menjadi punca kekacauan.
Beberapa bandar di Xinjiang, termasuk ibu negerinya, Urumqi, melarang pemakaian purdah di tempat awam tahun lalu. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini