Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Portal The Malaysia Insider DiPanggil Polis Dan SKMM Isu kaitkan Majlis Raja-raja Dalam Isu Hudud

No Comment


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan ke atas portal berita online The Malaysian Insider (TMI) berhubung beberapa laporan yang disiarkan dalam portal propembangkang itu.

Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman memaklumkan siasatan itu termasuk laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 untuk memberi laluan kepada pelaksanaan Hudud di Kelantan.

“SKMM dan polis (PDRM) telah bekerjasama menyiasat The Malaysian Insider selepas laporan polis dibuat selain meneliti laporan mengenainya di akhbar-akhbar sejak Jumaat lalu.

Siasatan itu masih lagi berjalan hingga kini,” kata beliau dipetik daripada laporan Utusan Malaysia.

Sheikh Ahmad Raffie menjelaskan siasatan itu dilakukan selepas Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis menafikan laporan TMI itu, selain banyak pihak turut mengeluarkan kenyataan bantahan serta mengecam tindakan yang tidak berlandaskan etika kewartawanan oleh portal berkenaan.

Namun beliau tidak dapat memberikan anggaran tempoh siasatan terhadap portal itu boleh diselesaikan, seterusnya bentuk tindakan yang wajar terhadap TMI boleh diputuskan berdasarkan penemuan siasatan.

“Belum dapat dipastikan bila siasatan akan selesai, sama ada ia akan mengambil masa yang lama atau sekejap juga tidak pasti. Semua itu bergantung kepada keadaan,” katanya.

Kenyataan beliau ini bagi mengulas gesaan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media dan Pergerakan Pemuda UMNO yang mempersoalkan apakah bentuk tindakan SKMM terhadap TMI yang didapati sudah sering menerbitkan laporan atau artikel yang boleh dipersoalkan kesahihannya.

Awang Selamat melalui pojoknya dalam Mingguan Malaysia semalam secara sinis mencadangkan kerajaan membubarkan SKMM kerana TMI dilihat seolah ‘lebih berkuasa’ kerana sering terlepas daripada tindakan meskipun menyiarkan banyak laporan yang tidak betul, berbaur hasutan, memfitnah dan boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Sementara itu, polis menyatakan pihaknya kini sedang menunggu laporan siasatan kes berkenaan daripada SKMM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, laporan daripada SKMM diperlukan sebelum pihaknya boleh mengambil tindakan seterusnya.
“Kami perlu mendapatkan laporan daripada SKMM terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut,” kata Mortadza.

Terdahulu pada 27 Mac lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan, SKMM akan menyiasat laporan TMI yang mendakwa kononnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Beliau amat kesal dengan tindakan TMI menggunakan nama Majlis Raja-Raja bagi menguatkan berita yang diterbitkannya, sedangkan laporan itu ditulis dengan sekadar memetik sumber yang juga boleh diragui kredibilitinya.

“Perkara itu tidak benar. Ada pihak yang cuba memalitkan Majlis Raja-Raja dalam isu ini.
“Sepatutnya, setiap berita yang hendak disebarkan kepada umum mestilah mendapat pengesahan terlebih dahulu dan kita pula janganlah mudah percaya,” Shaberry dilaporkan berkata pada Jumaat lalu.

Sebelum itu pada Khamis lepas, laporan TMI mendakwa Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 11 Mac menolak cadangan meminda akta dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud.

Namun pada hari yang sama, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan segera mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pindaan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di Kelantan melibatkan Majlis Raja-Raja.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Tetap Hudud Kelantan menjelaskan soal berkaitan pindaan itu hanya tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama negeri.

Takiyuddin yang ditemui pemberita di Parlimen berkata Mesyuarat Majlis Raja-Raja hanya membincangkan mengenai urusan agama yang berkaitan dengan seluruh negara.

Beliau turut memaklumkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob yang mengiringi Sultan Kelantan dalam mesyuarat majlis berkenaan juga mengesahkan tiada sebarang dokumen berkaitan pindaan EKJS II (1993) 2015 dikemukakan bagi mendapatkan perkenaan Raja-raja Melayu. - The Rakyat Post

Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli