Radikalisme dunia Arab bukan jihad
Radikalisme atau fahaman melampau dan keterlaluan dalam menanggapi persoalan kehidupan bukan perkara baharu. Fenomena ini juga tidak terhad kepada satu kumpulan atau golongan. Fahaman ini boleh mempengaruhi sesiapa sahaja atau kelompok masyarakat.
Dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini, kes remaja perempuan yang dilapor terpengaruh dengan fahaman radikalisme di Asia Barat mengejutkan semua pihak. Kes ini menunjukkan fahaman radikalisme dalam versi yang terbaharu menerusi label militan Negara Islam (IS) merentasi sempadan.
Jika benar kes remaja itu, semua pihak terutama keluarga perlu lebih berhati-hati meneliti perkembangan berfikir remaja hari ini. Namun, kita yakin kes berkenaan adalah terpencil dan tidak mewakili sifat dan watak keseluruhan generasi muda negara.
Fahaman radikalisme memang menjadi antara permasalahan dalam kehidupan masyarakat Muslim semasa. Banyak faktor menyumbang kepada perkembangannya sama ada bersifat dalaman atau luaran yang memerlukan penelitian khusus.
Sarjana Islam sejak beberapa dekad lalu mengenal pasti perkembangan gejala ini dan menyumbang pelbagai karya bagi membetulkan gejala songsang dalam pemikiran Islam ini. Seorang ulama iaitu Hassan al-Hudaibi menerusi bukunya, Nahnu Duat la Qudhat (Kita Pendakwah Bukan Hakim) mengesan gejala radikalisme dan mengajak masyarakat Muslim kembali kepada asas dan keperibadian terunggul mereka sebagai pendakwah bagi menjayakan perubahan masyarakat dan bukan menerusi pendekatan menghukum.
Perbuatan sebahagian masyarakat Muslim yang bertindak sebagai 'penghukum' dengan mengkafirkan saudara seagama hanya kerana ada perbezaan sikap dan pendirian yang boleh dipertimbangkan, menjadi dalil bagaimana gejala radikalisme menyerap di dalam hati dan fikiran mereka.
Radikalisme terus berleluasa
Kini, seolah-olah gejala radikalisme terus berleluasa. Tuntutan untuk mencegah dan memerangi fahaman radikalisme dalam beragama ini turut disumbangkan oleh ulama semasa Prof Dr Yusof al-Qaradhawi menerusi karya terbaru beliau, Fiqh Jihad.
Gejala radikalisme yang berkembang hari ini nampaknya disumbangkan oleh salah faham terhadap pengertian dan tuntutan jihad dalam Islam. Pandangan sempit terhadap konsep jihad yang difahami dalam dalam konteks 'jihad bersenjata' oleh sesetengah pihak adalah salah dari sudut pemikiran Islam sebenar. Hakikatnya, konsep dan kefahaman jihad dalam Islam amat luas pengertian.
Di samping faktor kecelaruan terhadap pengertian jihad serta sikap yang menggemari perbuatan menghukum sesama umat Islam yang membawa kepada merebaknya faham radikalisme ini, kecetekan fikiran sebahagian masyarakat Muslim memahami rentak semasa geopolitik di Asia Barat secara khusus mengusutkan lagi permasalahan ini.
Gejala permusuhan seperti tergambar dalam kezaliman IS di rantau itu tidak semestinya didorong oleh kepentingan keagamaan yang luhur. Kepentingan politik dan persaingan kekuasaan ekonomi dan pengaruh sesetengah kumpulan atau kabilah dalam kalangan masyarakat Muslim di rantau itu juga amat menonjol.
Dalam kes di Iraq, kekosongan ruang kekuasaan politik pasca pemerintahan Saddam Husin akibat peperangan dan dasar pecah dan perintah oleh kuasa besar berkepentingan menumbuhkan gerakan dan kumpulan politik tersendiri bagi mengisi ruang ditinggalkan.
Sebahagian dari kumpulan politik ini pula didapati menggunakan alasan atau justifikasi agama bagi mengabsahkan kepentingan pengaruh dan politik pada peringkat serantau dan tempatan.
Justeru, masyarakat Muslim tidak harus sama sekali terkeliru dengan seruan menyertai peperangan atas semangat dan tuntutan agama yang tidak pernah mendapat perakuan ulama dan sarjana Muslim sedunia.
Perluas pendidikan agama
Mencegah radikalisme bukan lagi bersifat sehala. Pelbagai faktor dan ruang yang berkesan perlu dimanfaatkan. Pendidikan agama yang sebenar perlu diperluaskan dalam pelbagai kaedah terutama menerusi media sosial dan maya hari ini. Perluasan pemahaman mengenai fenomena geopolitik serantau hendaklah dikembangkan perbincangannya.
Langkah lain juga tentu sekali menerusi kegiatan diplomatik antara negara Islam supaya perdamaian antara kumpulan dan negara bertelagah dapat diselesaikan secara aman.
Terlalu banyak kerugian yang ditanggung dunia Islam akibat krisis di Asia Barat. Apa yang lebih menyedihkan ialah korban kemanusiaan dan ketinggalan yang berterusan rantau itu dalam pelbagai bidang ketamadunan. - BH Online
Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini