Warga dunia sokong kempen Earth Hour
NEW YORK: Lampu di bangunan Empire State dimalapkan dan Menara Eiffel bergelap malam tadi sebagai sebahagian daripada tanda sokongan daripada beberapa mercu tanda ikon dunia terhadap kempen kesedaran perubahan iklim global, Earth Hour.
Di Paris, Menara Eiffel bergelap hanya lima minit, atas sebab keselamatan, sementara hampir 300 monumen lain di City of Light itu turut memadamkan lampu mereka.
Tahun ini, sambutan Earth Hour berkunjung ke ibu negara Perancis itu, yang akan menjadi tuan rumah dalam persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Disember ini, selain bagi menarik perhatian masyarakat dunia membincangkan secara bersama usaha mengehadkan pemanasan global.
Jutaan warga dunia turut mengambil bahagian dalam kempen tahunan itu yang dianjurkan kumpulan pemuliharaan Tabung Alam Sedunia (WWF).
Di Berlin, sekumpulan aktivis meletakkan lilin di dalam beg kertas, berbaris di Brandenburg Gate dalam suasana gelap sambil menyatakan 'selamatkan iklim kami! sekarang!', sementara sekitar Kremlin di Moscow juga turut merendahkan pelepasan cahayanya.
Di Australia, inisiatif tahunan itu menumpukan kepada sektor pertanian berikutan kebimbangan bahawa peningkatan suhu akhirnya akan merosakkan keupayaan negara itu menghasilkan makanan.
"Di Australia, pertanian adalah industri yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim," kata pengurus Earth Hour kebangsaan Australia, Anna Rose.
Di Hong Kong, deretan bangunan pencakar langit di sepanjang Victoria Harbour turut bergelap antaranya Pusat Perdagangan Antarabangsa, berketinggian 118 tingkat yang juga bangunan tertinggi di bandar itu.
Di Taiwan, lampu menara Taipei 101 digelapkan, manakala di KUALA LUMPUR, Menara Berkembar PETRONAS yang memaparkan pandangan mempesonakan pada waktu malam turut bergelap.
Di negara jiran Singapura, semua acara Earth Hour dibatalkan ekoran masih berkabung berikutan kematian bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew.
Earth Hour bermula pada jam 8:30 malam waktu tempatan dan ia menggalakkan seluruh masyarakat, ahli perniagaan dan organisasi untuk memadamkan lampu selama satu jam.
Inisiatif ini bermula di Sydney pada tahun 2007 tetapi dengan cepat ia mendapat sokongan global.
"Lebih 170 negara dan wilayah mengesahkan penyertaan mereka termasuk lebih 1,200 mercu tanda dan 40 tapak warisan dunia UNESCO ," kata Ketua Earth Hour, Sudhanshu Sarronwala kepada AFP menjelang acara itu. - AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini