12 Keluarga Pindah, Rumah Retak Akibat Tanah Mendap
SHAH ALAM: Satu deretan rumah di Seksyen 7 di sini diisytiharkan 'zon bencana' dan semua 12 keluarga diarahkan untuk meninggalkan kawasan tersebut selepas kediaman mereka mengalami keretakan yang teruk akibat tanah mendap.
Kejadian disedari apabila tembok penghadang di salah sebuah rumah runtuh selepas berlaku tanah mendap.
Penduduk yang bimbang untuk terus tinggal di kawasan itu memilih untuk tinggal di hotel selepas menyedari berlaku pergerakan tanah dan bunyi air yang sentiasa mengalir di bawah lantai rumah mereka.
Suri rumah, Marziah Mahmud, mangsa yang rumahnya terjejas teruk berkata beliau dapat merasai berlaku pergerakan di lantai dan terdengar bunyi air dibawahnya semasa hujan lebat dua hari lalu.
Kawasan tersebut diisytiharkan sebagai zon bencana oleh Pegawai Daerah Petaling Jaya, Datuk Mohd Misri Idris kira-kira pukul 10 malam Khamis.
Marziah berkata ini bukan pertama kali penduduk di kawasan tersebut bersama tidak selamat.
"Kami diancam dengan tanah mendap sejak 2012. Penghuni di rumah pertama dan kedua berdekatan rumah saya berpindah sejak beberapa tahun lalu.
"Penghuni lain tiada tempat lain untuk ditujui," kata wanita berusia 43 tahun itu.
Tinjauan di dua rumah yang tidak berpenghuni mendapati kesan retakan sama teruk seperti yang menimpa rumah Marziah.
Marziah tinggal bersama ibu bapanya, suami dan tiga anak di rumah teres dua tingkat itu sejak 2008.
"Ramai penduduk tidak berpuas hati dengan tawaran pampasan daripada PKNS.
"PKNS sepatutnya mengambil kira faktor nilai hartanah kami pada masa hadapan apabila menawarkan jumlah pampasan atau cadangan sewa sementara. Kami benar-benar terpaksa berpindah keluar.
"Ia amat menjengkelkan kerana rumah rosak teruk," katanya.
Seorang lagi penghuni yang hanya ingin dikenali sebagai Vijay, 42, berkata, tapak perumahan itu merupakan kawasan berpaya sebelum dijadikan kawasan perumahan.
"Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menjadikan keadaan lebih teruk," katanya.
Hairudin Tumiran, yang membantu kakaknya Khuzaita membungkus barangan di rumah tersebut berkata keselamatan keluarga adalah menjadi keutamaan pada masa ini.
Katanya, keluarga tersebut akan tinggal di sebuah hotel di Seksyen 9 di sini sementara mencari rumah untuk disewa. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini