Denda, penjara model terlalu kurus
Paris: Perancis akan mengharamkan model yang terlampau kurus dan mendenda atau memenjara ejen modeling dan syarikat fesyen yang merekrut mereka menurut undang-undang yang diluluskan semalam.
Perancis yang terkenal dengan industri fesyen berjumlah puluhan bilion euro menyertai Itali, Sepanyol dan Israel dalam melaksanakan undang-undang ke atas model terlampau kurus.
Ia sebahagian daripada langkah menangani anoreksia yang disokong kerajaan Presiden Francois Hollande.
Anggota Parlimen juga meluluskan langkah berasingan untuk mengharamkan amalan anoreksia - tindakan yang menyasarkan Internet - yang menggalakkan penurunan berat badan secara berbahaya.
Menurut rang undang-undang berkenaan: “Aktiviti modeling diharamkan terhadap mereka yang memiliki Indeks Jisim Tubuh (BMI) kurang daripada tahap yang dicadangkan pihak berkuasa kesihatan dan yang ditetapkan menteri kesihatan dan tenaga kerja.”
Anggota Parlimen di sebalik rang undang-undang itu mulanya mencadangkan model perlu menunjukkan sijil kesihatan dengan BMI sekurang-kurangnya 18, kira-kira 55 kilogram untuk ketinggian 1.75 meter sebelum ditawarkan pekerjaan.
Undang-undang itu yang diluluskan walaupun mendapat tentangan daripada anggota konservatif, menetapkan hukuman penjara enam bulan dan denda 75,000 euro (RM300,000) ke atas agensi yang melanggarnya.
Pakar kesihatan menganggar 30,000 hingga 40,000 penduduk Perancis mengalami anoreksia, dan kebanyakan mereka remaja.
Pada 2007, Isabelle Caro, 28, bekas model fesyen Perancis yang menghidap anoreksia mati selepas kempen fotografi bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu. - Reuters
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini