Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Iran hantar kapal ke Yaman

No Comment


Sanaa: Iran semalam menghantar dua kapal termasuk satu kapal perang ke perairan berhampiran Yaman manakala Amerika Syarikat (AS) meningkatkan bekalan senjata kepada gabungan tentera diketuai Arab Saudi yang menyerang pemberontak Houthi di Yaman.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan penyertaan kuasa asing secara lebih serius dalam sengketa berkenaan.

Bagaimanapun, badan penyiar Iran, Press TV memetik Laksamana Muda Habibollah Sayyari berkata, kapal berkenaan sebahagian daripada kempen antilanun yang ‘melindungi laluan kapal di rantau itu.’

Iran - kuasa besar Syiah - didakwa menyokong puak Houthi namun dinafikan republik Islam serta pemberontak terbabit.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Negara AS Antony Blinken yang ditemui di Riyadh berkata, Washington komited mempertahankan Arab Saudi.

“Kami sudah mempercepatkan penghantaran senjata, meningkatkan perkongsian maklumat risikan selain menyelaraskan semua perancangan di pusat operasi Saudi,” katanya.

Dia sebelum itu menemui keluarga diraja Saudi serta Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi yang melarikan diri ke negara itu.

Kempen diketuai Arab Saudi itu dimulakan pada 26 Mac lalu namun setakat ini gagal menghentikan kemaraan Houthi di Aden - bandar kedua terbesar Yaman - yang turut sempat digelar ibu negeri sementara oleh Abed Rabbo sebelum dia lari menyelamatkan diri.

Selain itu, semalam, Human Rights Watch (HRW) memetik saksi berkata puak Houthi melepaskan tembakan terhadap orang ramai yang menunjuk perasaan di Taiz dan Torba sehari sebelum kempen pengeboman dimulakan. Sekurang-kurangnya tujuh maut dan lebih 80 cedera dalam kejadian itu.
HRW menggesa pihak berkuasa Houthi menyiasat kejadian berkenaan.

Timbalan Pengarah HRW di Asia Barat dan Afrika Utara, Joe Stork berkata: “Konflik yang semakin meruncing di Yaman mengakibatkan keruntuhan undang-undang dan ketenteraman.

“Pasukan keselamatan yang berkuasa - tidak kiralah pihak mana sekalipun - bertanggungjawab melindungi hak asasi penduduk tempatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota mereka yang melakukan kesalahan.” - AP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli