Keluarga pesalah dadah buat rayuan saat akhir
Manila: Keluarga seorang wanita warga Filipina yang menanti hukuman mati kerana mengedar dadah membuat rayuan pada saat akhir semalam bagi mendapat pengampunan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Ibu bapa, adik beradik dan dua anak lelaki Mary Jane Veloso menghantar satu surat terbuka kepada Jokowi di Kedutaan Indonesia di sini bagi merayu ‘belas kasihan’ terhadap ibu tunggal berusia 30 tahun itu.
Surat itu memberitahu, Mary adalah mangsa satu sindiket dadah dan dia diperdaya oleh seorang rakan untuk membawa satu bagasi mengandungi 2.6 kilogram heroin.
Mahkamah tertinggi di Indonesia pada bulan lalu menolak satu petisyen untuk satu semakan kehakiman oleh Mary.
Mary dan sembilan lagi warga asing yang didapati bersalah mengedar dadah kini menanti hukuman mati yang dilaksanakan oleh skuad penembak.
“Kami merayu simpati dan belas kasihan Presiden supaya tidak mengenakan hukuman mati terhadap anak perempuan saya,” kata ibu Mary, Celia Velso.
Dua anak Mary yang berusia enam dan 12 tahun dilihat memegang sepanduk dengan mesej “Simpati dan belas kasihan untuk Mary Jane dan keluarga”.
Sekumpulan aktivis juga hadir sambil membawa poster tertera gambar Mary di dalam penjara dan sepanduk dengan mesej “Selamatkan nyawa Mary Jane Veloso”.
Mary pergi ke Indonesia pada 2010 apabila kakak angkatnya memberitahu dia akan ditawarkan kerja sebagai pembantu rumah. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini