Lelaki Malaysia ditahan edar dadah
Pekanbaru: Unit Narkotik Polis Riau berjaya menahan tiga pengedar dadah dan merampas kira-kira 46.5 kilogram dadah jenis methamphetamine serta 1,100 pil ekstasi dalam dua operasi berasingan baru-baru ini.
Ketua polis Riau, Dolly Bambang Hermawan berkata, rampasan dadah itu adalah yang terbesar di wilayah berkenaan.
Katanya, dadah itu dirampas daripada seorang lelaki warga Malaysia berusia 50 tahun dan dua wanita warga Indonesia berusia 30 dan 31 tahun.
“Lelaki warga Malaysia itu dipercayai seorang pengedar dadah dan wanita berkenaan menjadi penunjuk arahnya di sini,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini kelmarin.
Ujarnya, polis mengekori lelaki itu sejak dia masuk ke Dumai dengan menaiki sebuah bot laju pada Rabu lalu.
Lelaki itu kemudiannya berjumpa dengan dua wanita berkenaan sebelum menyewa kereta untuk pergi ke Pekanbaru.
Polis hanya membuat serbuan apabila ketiga-tiga suspek berhenti di sebuah hotel di sini.
“Mereka ditangkap di dalam bilik hotel di sini pada Khamis lalu.
“Ketika pemeriksaan kami menjumpai 99 bungkusan plastik mengandungi methamphetamine yang setiap satunya seberat 500 gram yang disimpan di dalam dua beg pakaian,” ujarnya.
Menurutnya, semua dadah itu bernilai lebih 180 bilion rupiah (RM50.38 juta) di pasaran gelap.
Dolly memberitahu bahawa, suspek merancang membawa dadah berkenaan ke Palembang untuk diedarkan. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini