Murid Mengamuk Belasah Guru
Dongguan (China): Kerana ditegur tidak siap kerja sekolah, seorang murid berusia 10 tahun di sebuah sekolah rendah di sini tiba-tiba naik hantu dan membelasah seorang guru wanita sehingga mangsa terpaksa dirawat di hospital.
Kejadian berlaku apabila guru mata pelajaran seni di Sekolah Rendah Zhangmutou di sini meminta murid lelaki itu yang dikenali sebagai Bin menghantar kerja sekolahnya.
Bin memberitahu dia tidak menyiapkan kerja sekolah berkenaan, menyebabkan guru wanita itu yang dikenali sebagai Chen memarahinya.
Murid itu bangun dan terus menarik rambut Chen sebelum memukul kepala wanita itu berulang kali.
Bin turut menolak guru berkenaan sehingga jatuh sebelum duduk di atas badan wanita berkenaan dan terus membelasahnya.
Murid lain yang ketakutan berlari keluar dari kelas dan beberapa pelajar melaporkan kejadian itu kepada guru besar.
Bin dibawa ke pejabat guru besar dan ibu bapanya dipanggil ke sekolah.
Bagaimanapun, ibu bapa murid itu yang menjalankan perniagaan menjual minyak pelincir enggan datang ke sekolah dan menegaskan mereka hanya akan membayar bil rawatan guru berkenaan sekiranya diarahkan mahkamah.
Namun, mereka dilaporkan menghantar buah-buahan kepada guru malang berkenaan di hospital.
Chen yang dirawat di hospital enggan ditemu bual wartawan.
Katanya, Bin masih di bawah umur dan dia tidak mahu menjejaskan masa depan anak muridnya itu dengan mendedahkan serangan berkenaan.
Menurut guru besar sekolah itu yang hanya dikenali Hu, Bin sebelum ini pernah memukul empat gurunya dan juga pernah bergaduh dengan murid lain.
Hu dan pelajar lain menasihati ibu bapa Bin supaya membawa kanak-kanak itu menjalani rawatan terapi tetapi keluarganya enggan. - Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini