Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Saya Dalam Heli, Pulang KL - Mesej Terakhir Razakan

No Comment

TUARAN: Subarah Jili, ibu Allahyarham Razakan B Seran, tidak menyangka anaknya turut terlibat dalam nahas helikopter petang semalam yang mengorbankan enam orang, termasuk Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Subarah, 69, berkata dia mendapat tahu tentang kejadian itu setelah diberitahu oleh adik beradik Razakan yang lain.

Sedih dengan pemergian Razakan, 31, yang bertugas sebagai pengawal peribadi Jamaluddin, Subarah berkata dia sebelum ini pernah merasai 'sesuatu' tetapi tidak mengetahui apakah 'alamat' di sebalik perasaaan itu.

Bagaimanapun, Subarah yang menyifatkan Allahyarham Razakan sebagai anak prihatin dan bertanggungjawab terhadap keperluan keluarga, pasrah menerima ketentuan Ilahi.

"Allahyarham seorang anak yang bertanggungjawab. Sentiasa mengambil tahu tentang keperluan keluarga. Beliau kerap menghubungi kami di kampung untuk mengetahui perkembangan kami di sini," katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Saradan Laut, di sini hari ini.

Nahas yang berlaku kira-kira 4.55 petang semalam turut mengorbankan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang, Kapten Clifford William Fournier, Pembantu Operasi helikopter, Aidana Baizieva, dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

Subarah berkata kali terakhir dia bertemu dengan Razakan adalah padaDisember tahun lepas ketika anak keempat daripada lima beradik itu bercuti di kampung.

Katanya walaupun berperwatakan tegas, namun Allahyarham anaknya itu seorang yang peramah dan masih manja dengannya.

"Kalau balik ke kampung, Allahyarham akan menghabiskan masa cutinya di rumah. Dia juga selalu meletakkan kepalanya di atas ribaan saya. Dia memang seorang yang manja walaupun sudah punya dua orang anak," katanya.

Sementara itu, sepupu rapat Allahyarham Razakan, Rusman Podiman menerima mesej terakhir daripada Allahyarham yang memberitahu bahawa beliau akan menaiki helikopter untuk pulang ke Kuala Lumpur.Rusman, 33, sepupu paling rapat dengan Allahyarham, berkata mesej tersebut diterima menerusi laman sosial whatsapp yang tertulis  "Saya naik heli, pulang KL".

Rusman, bagaimanapun, tidak menyangka bahawa sepupunya itu merupakan antara enam mangsa terkorban dalam helikopter yang terhempas di Semenyih, kira-kira 4.55 petang semalam.

"Memang saya ada mendengar kejadian itu menerusi laporan berita. Pada awalnya saya tidak merasakan apa-apa, tetapi dalam masa sama berdoa semoga Allahyarham bukan berada di dalam helikopter terbabit.

"Bagaimanapun, perasaan saya itu meleset apabila mendengar bahawa antara yang terkorban di dalam helikopter itu ialah Tan Sri Jamaluddin Jarjis kerana Allahyarham merupakan pegawal peribadi Tan Sri," katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarga Allahyarham di sini.

Rusman berkata beliau ada mencuba menghubungi Allahyarham untuk mengetahui keadaan sepupunya itu tetapi gagal sehinggalah laporan mengesahkan bahawa Allahyarham antara enam orang yang terkorban.

Rusman berkata Allahyarham Razakan yang biasa disapa Jikan itu adalah seorang anak yang sangat prihatin dan bertanggungjawab terhadap keperluan keluarga selain memastikan kebajikan ibu tersayang sentiasa dipenuhi.

"Allahyarham adalah harapan keluarga dan ibunya," luahnya dengan nada sebak.

Rusman juga berkata Allahyarham pernah mengingatkan beliau supaya mula mengumpul sumbangan wang untuk mengadakan pertandingan berbentuk kerohanian seperti nasyid dan hafazan bagi memeriahkan sambutan hari raya di kampung.

"Memang tiap tahun kami akan mengadakan acara seperti itu. Ini juga antara mesej terakhir Allahyarham, beliau ada cakap kutip derma untuk sumbangan,"

katanya.

Adik bongsu Allahyarham Razakan, Hamisah Seran, berkata abangnya itu seorang yang tegas tetapi peramah, dan sentiasa bagi mengambil tahu keadaan keluarga di kampung terutama ibunya.

"Dia juga sangat berahsia terutama dalam soal kerja," katanya. — mStar online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli