Wanita Dalam Gambar Bukan Pembantu Juruterbang Helikopter Terhempas
PETALING JAYA: Apabila Penolong Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Projek Khas, Eagle Air Charter, Dzuriasikim Dzulkifli memuat naik gambar selfienya bersama juruterbang helikopter yang terhempas di Semenyih di laman Facebooknya, tidak pernah terlintas di fikirannya beliau akan disalah anggap sebagai pembantu juruterbang yang turut terkorban dalam nahas itu.
Wanita tersebut memuat naik gambarnya bersama Kapten Clifford Fournier yang juga rakannya sebagai tanda turut bersedih di atas kematian juruterbang helikopter itu.
Gambar tersebut kemudiannya menjadi viral di laman media sosial.
Dzuriasikim pada awalnya didakwa sebagai Aidana Baizieva, pembantu juruterbang helikopter tersebut.
Namun, Baizieva disahkan sebagai seorang kakitangan Syarikat Penerbangan Cempaka dan turut berada di dalam helikopter tersebut.
Beberapa akhbar turut menggunakan gambarnya bersama dengan lima lagi mangsa yang maut dalam nahas tersebut tanpa mengesahkan identiti beliau.
"Cliff bergambar dengan ramai rakan termasuk saya. Saya tidak faham mengapa orang ramai menganggap saya sebagai pembantunya," Dzuriasikim, 46.
Beliau menerima banyak mesej menerusi Facebook dan WhatsApp yang bertanya mengenai identitinya.
Dzuriasikim memberitahu wartawan bahawa beliau adalah Penolong Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Projek Khas, Eagle Air Charter.
“Fournier adalah rakan yang dikenali ramai dalam industri penerbangan. Beliau pernah terbang bersama ramai VVIP Malaysia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan IGB Corporation Berhad, Datuk Seri Robert Tan Chung Meng memberitahu beliau tidak putus-putus dihujani panggilan telefon sebaik sahaja dikatakan sebagai salah seorang mangsa nahas.
Kesilapan itu timbul apabila maklumat awal mengenai insiden itu memaklumkan bahawa helikopter tersebut dimiliki IGB Corp dan Datuk Robert Tan dikatakan antara yang terkorban.
Wartawan yang menghubungi keluarga dan rakannya sebaik sahaja menerima berita tersebut kemudiannya menyedari Robert Tan tidak berada di dalam helikopter tersebut.
Ketika dihubungi pada Ahad, Robert Tan, 63, memberitahu beliau berada dalam keadaan baik dan enggan memberikan sebarang komen. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini