Wanita Tertua Didunia Hanya Sempat Pegang Rekod 16 Hari
Little Rock (Amerika Syarikat): Hanya selepas beberapa hari dinobatkan sebagai orang paling tua di dunia, Gertrude Weaver, 116, meninggal dunia semalam.
Menurut rekod disimpan Kumpulan Penyelidikan Gerontologi yang berpangkalan di Los Angeles, Gertrude dilahirkan pada 1898, sekali gus menjadi orang paling tua di dunia selepas kematian seorang wanita Jepun berusia 117 tahun, minggu lalu.
Gertrude meninggal dunia pada jam 10 pagi (waktu tempatan) di Pusat Pemulihan dan Kesihatan Silver Oaks di Camden, kira-kira 160 kilometer ke barat daya Little Rock di Arkansas.
Datuk Bandar Camden Marie Trisollini sempat berbual dengan Gertrude apabila rakan sebiliknya meraikan hari jadinya yang ke 100.
“Dia wanita baik hati. Dia kelihatan cergas dan bertutur dengan jelas apabila saya berbual dengannya sebelum majlis bermula,” kata Marie.
Menurutnya, bila diminta nasihat mengenai petua hidup lama, Gertrude menjawab: “Gunakan pelembab kulit, layan semua orang dengan baik, sayangi jiran anda, makan masakan sendiri. Jangan makan makanan segera.”
Kumpulan penyelidik berkenaan berjaya mengesahkan usia Gertrude menggunakan rekod bancian dan sijil perkahwinannya pada 1915 yang mencatatkan dia berusia 17 tahun ketika itu.
Rekod lain menunjukkan dia mungkin dilahirkan pada April.
Bagaimanapun, kerana tidak dapat disahkan, penyelidik menggunakan hari dia sering menyambut ulang tahun kelahirannya - 4 Julai.
Menurut Marie, rumah penjagaan dan beberapa penduduk sebelum ini merancang menyambut hari ulang tahun kelahiran Gertrude yang ke-117.
Gertrude dilahirkan di barat daya Arkansas memberitahu kakitangan rumah penjagaan minggu lalu, dia ingin menjemput Barack Obama kerana dia mengundinya dalam dua pilihan raya presiden. - AP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini