Didie Alias Rancang Mengarah Drama Tahun Hadapan
PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Didie Alias memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah terpaksa membawa anak keenamnya, Muhammad Dayyan ke tempat kerja kerana tidak mempunyai pembantu rumah.
Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd Ali, 40 , berkata, dia tidak merasakan ada keperluan untuk mengupah pembantu rumah kerana masih mampu menjaga Dayyan yang kini berusia empat bulan tambahan pula suaminya, Norisham Ismail sentiasa berada disisi untuk membantu.
“Tidak rasa beban pun terpaksa membawa Dayyan ke tempat kerja kerana memang kami tidak merancang untuk mengambil pembantu rumah bagi menjaga anak.
“Bukan tidak mahu ambil pembantu tetapi memandangkan lima anak saya yang lain sudah pun besar jadi rasanya saya dan suami masih boleh menguruskan Dayyan,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Didie berkata, permintaan suaminya supaya Dayyan diberikan susu badan tanpa dicampur dengan susu formula sekurang-kurangnya untuk enam bulan turut menjadi faktor dia membawa anaknya ke tempat kerja.
Katanya, dengan cara itu lebih mudah dia menyusukan anaknya itu dan bersyukur kerana Dayyan tidak banyak meragam seolah-olah memahami situasinya yang perlu bekerja.
“Dia seorang anak yang baik dan jarang sekali menangis apabila berada di mana-mana acara yang melibatkan saya sebagai pengacara atau pun dilokasi penggambaran.
“Sebelum memasuki set atau naik pentas saya akan menyusukan dia terlebih dahulu dan selalunya selepas itu dia akan tidur sehingga saya selesai bekerja,” jelasnya.
Tambah Didie, biarpun pada awalnya dia berasa penat dengan rutin tersebut namun kini dia sudah terbiasa dengan situasi itu selain enggan berenggang dengan anaknya.
“Pada usia sekarang memang ada terasa penatnya namun saya lebih puas dapat melihat dia depan mata saya membesar dan suami juga banyak membantu ketika saya sibuk bekerja.
“Dialah orang yang paling sibuk sekali apabila berkaitan dengan anak kami dan sentiasa memanjakannya,” ujarnya.
Sementara itu, Didie juga memberitahu, anak-anaknya yang lain juga turut ringan tulang dalam menjaga adik mereka sehingga dia tidak berpeluang memegang anaknya itu.
“Mereka bergilir-gilir menjaga Dayyan sehingga kadang-kadang berebut nak jaga adik. Alhamdulillah anak-anak memahami keadaan saya yang kadang-kadang sibuk dan sentiasa membantu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Didie berkata, kerjaya seninya kembali rancak dengan pelbagai aktiviti selepas dia selesai berpantang selama 100 hari dan sudah bersedia untuk kembali aktif.
Bagaimanapun kata Didie, buat sementara waktu, dia hanya akan menerima tawaran yang tidak memerlukan dia bekerja dalam jangka masa panjang kerana perlu mengutamakan anaknya yang masih kecil.
“Alhamdulillah rezeki semakin bertambah sejak melahirkan anak namun saya terpaksa memilih terutamanya lakonan kerana keadaan anak yang masih kecil.
“Bagaimanapun sepanjang November hingga Disember depan, saya banyak menerima undangan sebagai pengacara dan akan aktif berlakon pada Januari depan,” katanya. - mStar Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini