Kapten Feri Sewol Dihukum Penjara Selama 36 Tahun
SEOUL – Kapten yang meninggalkan beratus-ratus pelajar sekolah ketika feri Sewol terbalik dan karam di perairan Korea Utara pada April lalu, Lee Joon-seok dijatuhi hukuman penjara 36 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah mahkamah di bandar raya Gwangju mendapati Joon-seok tidak bersalah atas tuduhan membunuh tetapi dia dipenjara kerana kecuaian melampau.
Feri Sewol tenggelam pada 16 April lalu ketika membuat pusingan U semasa belayar ke pulau peranginan Jeju. Joon-seok, 69, meninggalkan Sewol yang sedang karam ketika beratus-ratus penumpang masih berada dalam feri tersebut.
Hanya 172 daripada penumpang feri itu dapat diselamatkan. Hampir tujuh bulan selepas tragedi tersebut, pihak berkuasa menemui 295 mayat dengan sembilan mayat masih hilang.
Sebelum ini, pihak pendakwa raya menuntut kapten feri itu dihukum mati selepas menggelarnya seorang penipu yang meninggalkan Sewol walaupun mengetahui beratus-ratus penumpang yang terperangkap akan mati.
Mahkamah sama menjatuhi hukuman penjara 30 tahun ke atas ketua jurutera Sewol, Park Gi-ho kerana membunuh setelah dia tidak membantu dua kru feri itu yang cedera.
Baki 13 kru yang didakwa pula masing-masing dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun atas pelbagai pertuduhan termasuk jenayah cuai dan membunuh secara tidak sengaja.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pendakwa raya yang terlibat dalam kes itu memberitahu bahawa pihaknya akan merayu hukuman terhadap semua 15 kru feri berkenaan setelah menyifatkan keputusan mahkamah sebagai mengecewakan.
Perasaan kecewa juga turut dirasakan oleh waris dan saudara-mara mangsa yang menganggap hukuman tersebut tidak setimpal. Malah, seorang waris mangsa meminta Hakim Lim Joung-youb supaya membebaskan Jeon-seok dan krunya.
“Biar kami, waris mangsa sendiri yang menghukum mereka,” katanya.
Sewol yang seberat 6,825 tan itu menjalani pengubahsuaian haram supaya feri tersebut dapat membawa muatan melebihi berat yang dibenarkan. – Agensi
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini