Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Kerajaan cadang gubal undang-undang baharu cegah militan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan kertas putih berkenaan Islamic State (IS) di Dewan Rakyat. - Foto Effendy Rashid

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mencadangkan satu undang-undang baharu digubal dan dibentang pada sesi Parlimen akan datang bagi membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terbabit dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan juga mencadangkan pemerkasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Penjegahan Jenayah dan Kanun Keseksaan khusus bagi menangani ancaman kumpulan pengganas ini.

"Malaysia mempunyai pendirian jelas terhadap IS. Selain menyenaraikan IS sebagai kumpulan pengganas, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 baru-baru ini merumuskan penyertaan umat Islam negara ini dalam kumpulan militan IS di Iraq dan Syria adalah bertentangan dengan syarak dan kematian mereka tidak dikategorikan sebagai mati syahid.

"Saya merasakan sebagai sebuah negara yang turut mempelopori pendirian wassatiyyah sebagaimana tuntutan ajaran Islam dalam semua aspek, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan fahaman ekstrem IS adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan perlembagaan negara," katanya ketika membentangkan Kertas Putih ke arah memerangi ancaman kumpulan IS di Dewan Rakyat di sini, sebentar tadi.

Sehubungan itu, Najib berkata, Malaysia akan mempertingkatkan usaha menjelaskan jihad yang sebenar serta memperbetulkan persepsi Barat yang kerap mengaitkan Islam dengan keganasan.

"Melihat potensi ancaman daripada kumpulan ini, kita bimbang dan tidak dapat dinafikan kepulangan rakyat Malaysia dari kawasan konflik di Syria dan Iraq boleh meningkatkan lagi risiko keselamatan kepada negara.

"Lebih menakutkan, dengan pengalaman yang mereka ada, taktik peperangan yang mereka miliki, militan ini berupaya melakukan aktiviti pengganas secara bersendirian dan dengan kepakaran ketenteraan serta kemahiran membuat bom yang diperolehi di Syria, mereka berpotensi melancarkan serangan pada bila-bila masa sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan yang besar kepada harta awam," katanya.

Najib juga meluahkan kebimbangan bahawa kumpulan pengganas ini akan mewujudkan semula sel pengganas dan membentuk jaringan dengan kumpulan militan sedia ada dalam negara dan serantau.

"Setakat ini, terdapat lima suspek Malaysia dipercayai masih bersembunyi di selatan Filipina. Sekiranya rangkaian IS berjaya wujud di Sabah, tidak mustahil ia akan merebak ke Sarawak sehingga menggugat keselamatan dan keharmonian pelbagai kaum di sana," katanya.

Beliau berkata, dalam menghadapi ancaman ini, sudah sampai masanya kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk mengekang pengaruh IS.

"Kerajaan sedar undang-undang saja tidak mencukupi untuk membendung ideologi IS. Saya amat berharap supaya sokongan daripada semua lapisan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fahaman sedemikian.

"Sebagai kesimpulan, diharapkan Kertas Putih ini dapat menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai IS dan ancamannya kepada keselamatan negara. Oleh itu, kerajaan mencadangkan penggubalan satu undang-undang khusus serta pemerkasaan akta sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa menangani ancaman radikalisme, estremisme, keganasan dan militan. ─ Siakapkeli.com.my
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli