![]() |
Sumber Reuters/Susana Vera |
MADRID - SEPANYOL. Parlimen Sepanyol sebulat suara mengundi untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara selepas memperoleh 319 undi sokongan di bawah usul dikemukakan parti Sosialis yang merupakan pembangkang utama negara itu.
Resolusi itu juga bertujuan untuk menggesa kerajaan supaya mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara mengikut undang-undang antarabangsa.
Selain itu, ia berfungsi untuk menggalakkan penyelarasan dengan dasar Kesatuan Eropah (EU) yang mengakui Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, demokrasi dan merdeka.
Sepanyol mengikut jejak langkah Britain dan Ireland yang telah membuat tindakan simbolik dengan meluluskan usul tidak terikat serupa bagi mengesahkan hak Palestin.
Pada 30 Oktober lalu, Sweden menjadi negara anggota pertama EU mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dalam tempoh kurang sebulan selepas kerajaan itu mengumumkan rancangan tersebut walaupun berdepan kritikan daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutu kuatnya, Israel.
Difahamkan menurut laporan Press TV, Perhimpunan Kebangsaan Perancis juga bakal mengambil langkah simbolik sama bagi menuntut pengiktirafan serupa terhadap wilayah Palestin pada Jumaat depan.
![]() |
Gambar AFP/Asif Hassan |