BEAUFORT: Suspek kes bunuh kanak-kanak berusia tiga tahun di sini, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa, berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata, setakat ini polis masih menyiasat motif sebenar kejadian itu.
"Polis juga masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Mayat Shariqal Sidek, ditemui pada jam 2.15 petang semalam dalam sungai berhampiran Sekolah Menengah St John di sini, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Kampung Selagon.
Difahamkan, penemuan mayat kanak-kanak itu susulan soal siasat dijalankan oleh polis terhadap seorang suspek yang ditahan pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa.
Pada pagi Jumaat lalu, Shariqal hilang selepas dikatakan kali terakhir dilihat bermain bersama dua abangnya di kawasan berhampiran kebun getah tidak jauh dari rumahnya. - BH Online