MELAKA: Langkah kerajaan negeri untuk memasukkan tulisan jawi pada papan tanda di semua sekolah, termasuk sekolah-sekolah mubaligh, telah menimbulkan kemarahan aktivis pendidikan dan ahli-ahli politik.
Satu pekeliling bertarikh 2 November dari Jabatan Pendidikan Melaka telah dihantar ke semua sekolah, menyatakan bahawa papan-papan tanda di sekolah wajib memaparkan tulisan Jawi, bersama-sama dengan tulisan rumi Bahasa Melayu.
Amaran juga diberikan bahawa panel penilai akan melawat sekolah-sekolah pada 1 Februari.
Tinjauan The Star mendedahkan bahawa pihak berkuasa untuk sekolah-sekolah vernakular masih belum menerima pekeliling itu.
Dalam satu kenyataan bersama, Naib Pengerusi MCA Melaka Datuk Lim Ban Hong dan Lai Meng Chong berkata tulisan Jawi adalah tidak perlu kerana papan tanda sekolah telah memaparkan tulisan rumi Bahasa Melayu.
"MCA sedang dalam proses mendapatkan maklum balas dari semua sekolah vernakular di negeri ini untuk melihat sama ada mereka telah menerima pekeliling ini," kata mereka, sambil menegaskan sehingga semalam, tiada SRJK (C) telah menerima arahan tersebut.
Pada Ogos, kerajaan negeri telah mewajibkan tulisan Jawi dipaparkan di papan tanda di semua jabatan, agensi dan kerajaan tempatan menjelang akhir bulan ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Ismail Othman berkata ini adalah untuk memartabatkan tulisan Jawi dan bahasa kebangsaan, tanpa ada sebab lain.
Pengerusi Persatuan Pendidikan Cina Progresif Melaka Yang Ying Chong memanggil arahan itu sebagai 'tidak munasabah' dan 'tidak boleh diterima' kerana tulisan Jawi tidak mewakili identiti sekolah Cina dan penggunaannya tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Keputusan ini telah dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesannya kepada masyarakat. Saya telah menasihati semua guru besar dan pengetua untuk mengabaikan arahan itu. Jika kita dipaksa untuk berbuat demikian, kita akan berusaha habis-habisan untuk mempertahankan sekolah-sekolah kita, "katanya.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin berkata tulisan Jawi terlebih dahulu perlu dijadikan mata pelajaran sebelum sebarang arahan dikeluarkan.
"Kasihan apabila kebanyakan guru dan pelajar tidak faham apa yang ditulis. Kita membazirkan sumber dan dana jika kerajaan negeri hanya mahu mempunyai tulisan Jawi pada papan tanda untuk tujuan hiasan, "katanya.
Sementara itu, Institut Seni Malaysia Melaka, salah sebuah agensi yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi mengukuhkan penggunaan tulisan Jawi, menjelaskan bahawa sekolah-sekolah vernakular hanya digalakkan untuk memasukkan tulisan tersebut.
"Garis panduan mengenai penggunaannya dengan jelas menyatakan bahawa sekolah-sekolah jenis kebangsaan digalakkan dan tidak dipaksa untuk menukar papan tanda mereka.
"Kita tidak tahu bagaimana perkataan 'wajib' berada dalam pekeliling," katanya. - mStar Online
Arahan Papan Tanda Jawi Timbul Kemarahan
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini