Beri Peluang, Masa Kepada Najib
KUALA LUMPUR - Rakyat perlu memberi peluang dan tempoh yang munasabah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melakukan tugasnya mentadbir negara.
Penasihat Kerajaan bagi Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, Najib masih ada mandat selama tiga tahun sebelum PRU akan datang.
“Jadi, berilah peluang serta masa kepadanya untuk berkhidmat kepada rakyat negara ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian bahawa ramai orang yang layak menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.
Menurut Rais, jika Najib ada membuat kesilapan, teguran perlu dibuat supaya kesilapan sama tidak diulangi.
“(Dr) Mahathir adalah seorang pemimpin yang bijak. Apa yang dikatakan beliau mungkin ada betulnya. Jadi, kita perlu menghormati kritikan yang beliau lontarkan.
“Saya berharap Perdana Menteri menerima teguran (Dr) Mahathir dengan positif supaya beliau dapat membangunkan negara serta rakyat dengan lebih baik pada masa yang akan datang," katanya.
Rais berkata, Najib sedang melakukan pelbagai perkara yang memberikan kebaikan kepada rakyat dan mereka juga perlu menghargai usaha yang dilakukannya.
Menurutnya, beliau yakin dengan kemampuan Najib untuk memperkenalkan pelbagai idea dalam baki tempoh perkhidmatannya kelak.
“Mana yang bagus, kita beri markah (kepada Perdana Menteri). Biarkan beliau mengetengahkan produk-produk lain.
“Saya pasti, dalam masa tiga tahun ini, beliau akan mengeluarkan produk yang tidak akan dijangka oleh rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Rais bersetuju dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membatalkan pasport milik penulis blog kontroversi, Alvin Tan dan Ali Abd Jalil.
Menurutnya, tindakan kedua-dua individu itu yang lari ke luar negara bagi mengelakkan pendakwaan di mahkamah menyebabkan KDN perlu berbuat demikian. - Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini