Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Gary, Saarvindran milik Tok Gajah

No Comment


PEMAIN Harimau Muda A, Gary Steven Robbat dan D Saarvindran yang sebelum ini diintai beberapa pasukan Liga Super akhirnya sah menjadi milik Juara Piala Malaysia 2014, Pahang.

Pengesahan ini dibuat Setiausaha Kehormat, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzeimi Ibrahim yang mengumumkan bekas pertahanan Kelantan, Mohammad Ab Aziz Ismail, 26 akan menyarung jersi Tok Gajah musim depan.

Fuzzeimi berkata, tiada perubahan besar dalam skuad Tok Gajah yang membariskan 26 pemain sebaliknya hanya empat pemain baru yang menyarung jersi Pahang disenaraikan.

"Pemain tengah, Gary Steven Robbat, 22 dan rakan sepasukan dari skuad Harimau Muda A, D Saarvindran, 22, dan Mohammad Ab Aziz antara muka baru didaftarkan PBNP untuk menggalas cabaran bagi juara treble musim 2015.

“Gary dan Saarvindran sudah menandatangani kontrak pada 14 November lalu di Kuala Lumpur dan Aziz di sini, kelmarin.

"Manakala pemain tengah dari skuad Piala Presiden, Mohd Rizua Shafiqi Kamaruzaman, 21, dinaiktarafkan untuk diserapkan ke dalam skuad utama kendalian Zainal Abidin Hassan," katanya.

Jelasnya, hanya penyerang muda Abdul Malik Mat Ariff, 23, dipinjamkan ke Kuantan FA manakala empat pemain import iaitu Dickson Nwakaeme, Matias Ruben Conti, Damion Delano Stewart dan Zeshan Rehman dikekalkan.

"Stewart dan Conti membuktikan kesetiaan mereka bersama skuad tersebut selama tiga musim termasuk musim depan dan Dickson serta Zeshan (dua musim)," ujarnya.

Dalam senarai itu juga, nama pemain tengah Mohd Hafiz Kamal dan penyerang kelahiran Pekan, Mohd Fauzi Rozlan didaftarkan bersama pasukan itu menamatkan keresahan peminat terhadap masa depan pemain itu bersama Pahang bagi musim depan.

Sebelum ini, kontroversi membabitkan Fauzi timbul selepas didakwa menjadi milik Felda United.

Dalam pada itu PBNP menafikan desas-desur pemain tengah Tok Gajah, Mohd Faizol Hussain yang dikatakan akan meninggalkan pasukan itu untuk bersama pasukan lain musim depan.

Fuzzeimi menjelaskan, berdasarkan kontrak dua musim yang ditandatangani Mohd Faizol pada 25 November 2013, kontrak itu hanya berakhir pada 30 November 2015.

Tegasnya, tidak timbul pemain tengah itu akan meninggalkan Pahang seperti yang dihebohkan di laman sosial hingga mencetuskan tanda tanya disebabkan kontrak pemain kelahiran Kluang, Johor hanya berakhir musim depan.

“Jika benar dia (Faizol) ingin beralih angin ke pasukan baru, ia perlu diselesaikan secara profesional terutama dalam soal penebusan kontrak.

“Bagaimanapun, setakat ini Faizol memang pemain Pahang bersama 25 pemain lain yang didaftarkan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan,” katanya.

Namun, pengesahan persatuan bahawa pemain tengah itu masih mempunyai baki kontrak sehingga 30 Novemeber 2015 menamatkan spekulasi berhubung penghijrahan pemain tersebut.-Sinar Harian
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli