Harga minyak terus merosot pada kedudukan paling buruk apabila merekodkan paras terendah dalam tempoh lima tahun pada dagangan awal pagi ini.
West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Januari menyusut sebanyak AS$2.36 kepada AS$54.11 setong, harga terendah sejak awal Mei 2009.
Penanda aras antarabangsa, Brent bagi penghantaran Februari pula berada pada paras AS$59.27 setong di London, jatuh sebanyak AS$1.91 berbanding harga penutup Rabu lalu.
"Kami melihat banyak turun naik dan situasi ini terikat sehingga akhir tahun ini dengan tidak banyak berlaku secara fundamentalnya," kata Carl Larry dari Frost & Sullivan.
Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen, Rabu lalu berkata, penurunan harga minyak secara dramatik adalah baik untuk ekonomi Amerika Syarikat, pengimport bersih minyak kerana pengguna memiliki tunai tambahan untuk meningkatkan perbelanjaan.
Harga minyak dunia menyusut daripada paras AS$100 setong sejak Jun lalu dan OPEC masih kekal dengan pendirian untuk tidak mengurangkan pengeluaran.
Arab Saudi, pengeluar utama OPEC, semalam berkata, tekanan persaingan menghalangnya daripada mengurangkan bekalan dan kerajaan itu boleh menangani kejatuhan harga minyak.
"Ia adalah sukar atau mustahil untuk Arab Saudi atau OPEC menjalankan apa-apa langkah yang akan membawa kepada pengurangan dalam saham (mereka) daripada pasaran dan melihat peningkatan oleh orang lain" yang tidak tergolong dalam kartel, menurut Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Nuaimi kepada Saudi Press Agency.
Tim Evans, penganalisis daripada Citi Futures berkata, komen Nuaimi itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu keengganan untuk melepaskan bahagian pasaran yang menunjukkan komitmen untuk mengekalkan pengeluaran tanpa mengira kejatuhan harga atau unjuran bekalan/lebihan permintaan pada 2015. - MalaysiaGazette