Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Lebih 300 penduduk di lima kawasan di Ipoh dipindahkan akibat banjir

No Comment


IPOH: Lebih 300 penduduk di lima kawasan di sini terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi.

Setakat jam 1 pagi tadi, seramai 285 mangsa dari 40 keluarga yang tinggal di Kampung Seri Kelebang Tambahan Dua, Kampung Tersusun Klebang Selatan, Kelebang Bayu dan Taman Bertuah dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang.

Sebanyak sembilan keluarga di Kampung Tengku Hussein, Manjoi, turut dipindahkan ke dewan orang ramai.


Banjir di kawasan terbabit mula berlaku jam 8 malam tadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut melawat kawasan yang terjejas malam tadi.

Beliau berkata, jumlah sebenar mangsa yang terbabit dalam bencana itu masih belum diperoleh kerana pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih merekodkan serta mengumpul maklumat mangsa.

Katanya, berdasarkan tinjauan yang dibuat, punca banjir disebabkan hujan lebat luar biasa pada sebelah petang selain ban di Sungai Seri Kelebang, di sini pecah.

"Saya masih menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai perkara itu dan mengarahkan mereka mengambil langkah sewajarnya untuk menangani masalah berkenaan.

"Bantuan awal juga diberikan kepada mangsa termasuk makanan, pakaian, tilam dan sebagainya di pusat pemindahan. JKM kini sedang merekodkan maklumat kesemua mangsa yang terbabit untuk tujuan penyaluran bantuan lanjut," katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan terjejas.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Kebombaan Perak, Hasrin Hasbi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 9.41 malam dan menghantar anggota dari Balai Bomba Ipoh, Meru Raya dan Pasir Puteh untuk menyelamat dan memindahkan mangsa.

"Air naik setinggi kira-kira satu meter hingga memasuki rumah mangsa dan pasukan bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap termasuk warga tua dan dua orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Dalam pada itu, limpahan air Sungai Pari membanjiri jalan di jambatan ke Kampung Tengku Ahmad Said Tambahan di Manjoi hingga menyebabkan laluan menuju ke Manjoi melalui Gugusan Manjoi telah ditutup untuk semua jenis kenderaan atas faktor keselamatan dan beberapa rumah berdekatan dinaiki air.

Ketua Kampung Tengku Hussien, Mazlan Nek berkata, sebanyak 22 keluarga terbabit dalam kejadian banjir yang berlaku secara tiba-tiba itu.

Beliau berkata, satu pusat pemindahan dibuka di Pusat Aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tengku Hussein bagi menempatkan mangsa yang terbabit.-BH Online

Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli