Sidang Media CWC MIC Kecoh Penyokong Buat Provokasi
KUALA LUMPUR : Sidang media Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC hari ini kecoh selepas berlaku provokasi membabitkan sekumpulan penyokong.
Difahamkan, kumpulan berkenaan adalah mereka yang tidak bersetuju dan mahu Presiden parti itu, Datuk Seri G Palanivel meletak jawatan.
Palanivel yang mengetuai sidang media berkenaan juga terpaksa menangguhkan sesi itu sebanyak tiga kali selepas pintu masuk memasuki bilik sidang media terbabit kecoh dengan asakan penyokong.
Malah, petugas media yang berpusu-pusu masuk ke bilik berkenaan turut disekat, menyebabkan keadaan bertambah kecoh sehingga berlaku tolak menolak antara pihak keselamatan, media dan penyokong parti itu.
Keadaan mula terkawal seketika, membolehkan sidang media itu berjalan hanya selama 10 minit, sebelum keadaan kembali tegang selesainya sesi itu.
Palanivel yang diiringi timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam terpaksa dikawal ketat oleh pihak berkuasa untuk keluar daripada bangunan ibu pejabat MIC berikutan wujud asakan dan provokasi oleh penyokong.
Kehadiran anggota polis serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan di kawasan pekarangan ibu pejabat itu, sehingga kedua-dua pemimpin MIC terbabit beredar. - BH Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini