Heskey, Gudjohnsen ‘Senjata’ Bolton
Liverpool: Pengurus Bolton Neil Lennon berharap kehadiran semula penyerang veteran Emile Heskey ke Anfield mampu memberi dorongan untuk mengejutkan Liverpool pada pusingan keempat Piala FA, awal pagi esok.
Heskey kembali ke Anfield pada usia 37 tahun, tetapi kali ini dia menyarung jersi Bolton yang disertainya Krismas lalu.
Bekas pemain England itu pernah menjulang Piala FA bersama Liverpool pada 2001 dan 22 gol yang dihasilkannya ketika itu turut membantu Reds memenangi Piala Liga, Piala UEFA dan Piala Super Eropah.
Heskey dan bekas penyerang Chelsea serta Barcelona, Eidur Gudjohnsen, 36, kini berada dalam kesebelasan utama Bolton. Gudjohnsen kembali menyertai Bolton awal musim ini.
Lennon mengharapkan dua pemain itu mampu beraksi sama seperti zaman kegemilangan masing-masing sekali gus mengenepikan Liverpool.
Pengendali kelahiran Ireland Utara yang pernah mewakili Celtic ketika menang Piala UEFA di Anfield pada 2003, berkata: “Heskey dan Gudjohnsen menjadi pendorong buat pemain lain. Mereka mempunyai pengalaman beraksi di peringkat sebegini.
“Kami harap kedua-duanya akan bermain seperti muda kerana semangat sebegitu yang diperlukan ketika ini. Emile meninggalkan Anfield dengan penuh kebanggaan dan itulah yang perlu dibuktikannya nanti.
“Dia mempunyai pengalaman luas dan kehadirannya dalam pasukan kami satu bonus.”
Bolton sudah keluar daripada zon penyingkiran Liga Kejuaraan sejak Lennon mengambil alih jawatan pada Oktober lalu.
Lennon, 43, mahu sekali lagi mencabar kelab yang muncul antara terbaik di England dan beliau tegas mengatakan pasukannya tidak datang ke Merseyside untuk bercuti. - AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini