Tunku Ismail Pertikai Pengagihan Dana FAM
Johor Bahru: Perjanjian komersial dan penyiaran baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama MP & Silva tidak memberi keuntungan kepada persatuan negeri dan kelab.
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) berpendapat berdasarkan perjanjian itu FAM akan menerima RM1.26 billion dalam tempoh 15 tahun yang ditaksirkan lebih kurang secara purata RM84 juta setiap tahun.
“Dengan 30 peratus diperuntukkan kepada pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M), ia memberi maksud kurang daripada RM1 juta setahun diberikan kepada setiap pasukan.
“Jumlah itu jelas tidak mencukupi untuk digunakan bagi mempertingkatkan keupayaan pasukan, membina kemudahan bola sepak baru, membangunkan program pembangunan di peringkat akar umbi.
“FAM akan mendapat RM17 juta setahun untuk menampung perjalanan liga. Malah FAM pula menikmati RM33.5 juta setiap tahun untuk perbelanjaan lain.
“Persoalannya ialah mengapa FAM menikmati bahagian lebih besar berbanding kelab dan persatuan dalam liga? Pasti kelab dan persatuan menderita dari segi kewangan, liga seterusnya akan terjejas,” kata Tunku Ismail.
Senario itu menjadi persoalan apabila Tunku Ismail mahukan kepastian apakan badan induk bola sepak negara itu mampu meningkatkan bola sepak Malaysia.
Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) turut mempersoalkan pendapatan penyiaran sepatutnya dikongsi bersama antara pasukan yang beraksi dalam kancah Liga M dan bukannya untuk perbelanjaan pelbagai oleh FAM.
“Setiap pelaburan pasukan yang mengambil bahagian dalam liga mampu membuatkan saingan liga lebih menarik dan tiada keraguan bahawa lebih ramai penyokong mengikuti bola sepak tempatan berbanding tiga atau empat tahun lalu.
“Kita semua sedia maklum, hasil penyiaran telah meningkat dengan pesat sejak tiga tahun lalu dan ini adalah disebabkan inisiatif pasukan berbelanja besar untuk infrastruktur, pemain berkualiti, menandatangani pemain import ternama dan pembangunan belia,” kata beliau.
Tegas Tunku Ismail lagi,lebih banyak peruntukan perlu diberikan kepada pasukan mengambil bahagian dan menuntut FAM untuk telus dan berlaku jujur dengan setiap perancangan terutama berkaitan dana diperuntukkan kepada FAM.
“Saya ingin bekerjasama dengan sebuah organisasi yang telus, bersih, dan jujur malah sentiasa berusaha untuk meningkatkan bola sepak tempatan. Oleh itu saya berharap FAM akan lebih telus dan profesional untuk pembangunan bolasepak negara,” kata Tunku Ismail. - myMetro online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini