Hasan Malek ingin temui pengurusan Suria KLCC isu butik BritishIndia
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mahu menemui pengurusan tertinggi Suria KLCC berhubung notis mengusir butik BritishIndia (Asia) Sdn Bhd (BritishIndia) dari pusat beli-belah itu.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, berkata pihaknya sudah mengarahkan perjumpaan diatur segera bagi membincangkan alasan sebenar di sebalik keputusan mengusir syarikat jenama tempatan itu.
"Saya dukacita dengan perbuatan mereka (Suria KLCC) ini, lebih-lebih lagi kerana isu berkenaan sudah saya bangkitkan pada tahun lalu apabila pertama kali mendengar mengenai masalah terbabit.
"Ternyata tindakan ini bercanggah dengan kempen pihak kementerian yang giat mempromosi jenama syarikat tempatan supaya berdaya saing pada peringkat antarabangsa. Ini amat mengecewakan, sebab itulah saya ingin menemui pengurusan tertinggi Suria KLCC bagi mendapatkan penjelasan.
"Saya mahu menemui mereka di pejabat saya pada Isnin atau Selasa ini selepas cuti Tahun Baharu Cina," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Seri Alias Ahmad, sudah diarah meneliti tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pihak pengurusan sekiranya mereka masih mahu meneruskan proses pengusiran itu.
Rabu lalu, pengasas BritishIndia, Pat Liew, memaklumkan akan memohon injunksi mahkamah bagi menghalang pengurusan Suria KLCC mengusir butik berkenaan dari premisnya.
Beliau menjelaskan, pihaknya menerima notis untuk mengosongkan premis dalam tempoh empat hari pada Julai tahun lalu, sejurus selepas membayar sewa untuk bulan berkenaan dan masih cuba berunding dengan pengurusan Suria KLCC.
Liew mendakwa beliau difahamkan ruang niaga yang diduduki selama 18 tahun iaitu sejak Suria KLCC dibuka, mahu disewakan kepada butik fesyen jenama luar negara yang turut mempunyai premisnya sendiri di pusat beli-belah itu.
Hasan berkata beliau sudah membangkitkan perkara terbabit dalam perjumpaan sebelum ini dengan kakitangan pengurusan Suria KLCC sebelum ini, yang menjanjikan satu jalan penyelesaian terbaik.
"Pada ketika itu saya hanya menemui pegawai bawahan Suria KLCC, kali ini saya mahu jumpa pengurusan tertinggi Suria KLCC yang membuat keputusan yang menjadi isu sekarang ini," katanya.
Hasan turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini, yang menegaskan Suria KLCC mesti memainkan peranan dalam mempromosi jenama tempatan tanpa terlalu taksub kepada jenama antarabangsa.- BH Online
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini