Kekejaman Israel Punca Penubuhan Isis - Tun M
KUALA LUMPUR 19 Feb - Kekejaman Israel dalam menindas umat Islam dan kelemahan kerajaan negara Islam menyelesaikan masalah merupakan punca kemunculan kumpulan militan Negara Islam Syria dan Iraq (Isis), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam wawancara bersama pengacara Skynews Adam Boulton awal pagi ini, bekas perdana menteri itu berkata, kemunculan kumpulan pengganas seperti Isis ialah kerana kekecewaan terhadap pemerintah negara Islam yang gagal membela penganut sesaudara.
"Apa yang mereka (Isis) lihat ialah, kerajaan negara Islam tidak mampu melakukan apa-apa tentang masalah mereka, khususnya yang membabitkan Israel umpamanya.
"Maka, orang cenderung mengambil tindakan mengikut cara mereka sendiri," katanya.
Dr Mahathir yang dikenali sebagai individu yang lantang mengkritik negara Zionis tersebut bagaimanapun menjelaskan, itu tidak bermakna beliau menyokong Isis.
Sebaliknya, katanya, reaksi ganas kumpulan tersebut disebabkan kekejaman yang ditunjukkan rejim Israel itu sendiri.
"Tidak, ia (keganasan Isis) sama sekali tidak wajar, sebaliknya kekecewaan mereka mendorong kepada kecenderungan menghasilkan semua keganasan ini," katanya apabila ditanya sama ada Isis wajar diwujudkan kerana adanya negara Israel.
Dr Mahathir bagaimanapun menyifatkan perjuangan yang dibawa Isis bukan mengikut ajaran Islam sebenar tapi lebih kepada semata-mata rasa tidak puas hati, khususnya apabila berdepan negara yang berkuasa.
"Apa yang berlaku ini malang sekali, tetapi itu bukan ajaran Islam. Ia satu luahan kekecewaan mereka terhadap suatu perkara yang mereka tidak mampu tangani kerana berdepan negara yang berkuasa besar," katanya.
Di sebalik itu, Dr Mahathir berkata penganut Islam di seluruh dunia berasa mereka ditindas dan dijajah.
"Yang lebih penting ialah, rata-rata terdapat satu perasaan yang umat Islam ditindas, negara mereka diserang, ribuan orang Islam dibom dan dibunuh. Jadi bagaimana mereka hendak bertindak balas?" soalnya.
Kumpulan pengganas Isis merupakan pecahan anggota al-Qaeda di Iraq yang dibentuk pada 2013.
Ahlinya terdiri daripada ribuan penduduk tempatan dan pejuang jihad luar negara dan bekas anggota tentera ketika pemerintahan Saddam Hussein.
Ia menjadi salah satu kumpulan jihad menentang kerajaan di Iraq dan Syria dengan bertujuan mewujudkan Negara Islam di Iraq, dan wilayah timur Mediteranean dari selatan Turki hingga Mesir.
Media melaporkan ada warganegara Malaysia turut menyertai perjuangan kumpulan Isis, malah terdapat juga yang terkorban semasa berada di sana.
Pihak berkuasa Malaysia juga giat membanteras dan memantau kegiatan rakyatnya yang pergi ke negara Arab yang sedang bergolak itu bagi menyertai Isis. - The Rakyat Post
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini