Remaja hilang 2 hari ditemui mati dalam Myvi tenggelam dalam tali air
KOTA BHARU 14 Feb. – Misteri kehilangan seorang remaja terungkai apabila kereta yang dipandunya ditemukan dalam tali air di Kampung Padang Bual, Pangkal Kalong di sini semalam.
Mangsa, Amirul Aiman Abu Hassan, 17, dipercayai meninggal dunia lebih dua hari ekoran keadaan mayatnya yang berbau busuk dalam kereta tersebut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Rohaimi Md. Isa berkata, kereta jenis Perodua MyVi yang dipandu mangsa dikatakan terbabas masuk ke dalam tali air pada hari dia dilaporkan hilang.
Beliau berkata, tidak ada siapa menyedari kejadian tersebut kerana kereta itu tenggelam sepenuhnya dalam tali air disebabkan air besar pada ketika itu.
“Mangsa ditemukan oleh orang awam yang melalui jambatan di tali air itu ketika air surut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Wan Asri Wan Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian tersebut daripada orang ramai pada pukul 2.46 petang.
“Orang ramai yang menemui mayat ini memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh. Kami tiba di tempat kejadian pada pukul 3 petang. Pihak kami berjaya mengeluarkan mayat berkenaan dalam masa tiga minit,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Rohana Mahmud, 41 memberitahu, semasa kejadian, Amirul Aiman dikatakan dalam perjalanan ke rumah ibunya di Kok Lanas di sini.
“Difahamkan sebelum kejadian, mangsa datang dari rumah ayahnya di Kampung Padang Bual, Pangkal Kalong dan dalam perjalanan menuju ke rumah ibunya berdekatan Pasar Raya Econjaya, Kok Lanas.
“Bagaimanapun, mangsa tidak sampai ke rumah ibunya sejak Rabu lalu sehinggalah mayatnya ditemukan semalam,” katanya. - Utusan
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini