Tony Abbott Beri Amaran Kepada Indonesia
CANBERRA – Berjuta-juta rakyat Australia meluat berhubung tindakan pemerintah Indonesia yang berkeras mahu melaksanakan hukuman mati terhadap dua warganya, Kata Perdana Menteri Tony Abbott semalam.
Abbott memberi amaran tindakan diplomatik yang keras akan diambil jika Indonesia tetap melaksanakan hukuman tersebut.
Kenyataan beliau disiarkan selepas keluarga dua banduan tersebut, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran membuat rayuan terakhir kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo.
“Saya berkali-kali merayu supaya beliau memaafkan kedua-duanya dan memberi peluang kedua kepada mereka,” kata nenek Sukumaran, Edith Visvanathan.
Satu kenyataan daripada keluarga Chan menyebut bahawa Andrew Chan masih terus berdoa.
“Selagi mereka hidup, selagi itulah masih ada harapan,” kata kenyataan tersebut.
Tarikh perlaksanaan hukuman itu masih belum ditetapkan tetapi pemerintah Indonesia menyatakan, negara-negara yang rakyat mereka dihukum mati dijemput untuk menghadiri satu perbincangan di Kementerian Luar Indonesia hari ini.
Chan, 31, dan Sukumaran, 33, berdepan hukuman tembak seawal minggu ini susulan penglibatan mereka sebagai ketua sindiket Bali Nine yang bertanggungjawab menyeludup heroin dari Pulau Bali ke Australia.
Walaupun harapan untuk menyelamatkan mereka sudah tiada, Abbott terus menekan Jakarta untuk dua hari berturut-turut.
“Berjuta-juta rakyat Australia meluat dengan apa yang akan berlaku di Indonesia (perlaksanaan hukuman mati),” katanya kepada saluran televisyen Channel Ten.
“Jika hukuman ini diteruskan, kami pasti akan mencari jalan supaya kekecewaan kami dirasai oleh Indonesia,” ujarnya.
Abbott bagaimanapun tidak menyatakan tindakan yang akan diambil oleh Canberra.
Sebelum ini, Brazil dan Belanda memanggil pulang dutanya sebagai membantah perlaksanaan hukuman mati terhadap rakyat pada Januari lalu.
Terdahulu, seramai 150,000 orang menandatangani satu petisyen untuk menggesa Jakarta mengampunkan dua banduan warga Australia itu. – AFP
Tahukah anda terdapat satu cara untuk jimatkan penggunaan kredit telefon anda? Jom lihat plan ini